Khamis, 24 Februari 2022 | 2:17pm
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut

Maxis labur RM1.2 bilion perkukuh rangkaian

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd melabur sebanyak RM1.2 bilion pada 2021 dengan RM597 juta dilabur pada suku keempat, menjadikan jumlah tertinggi pernah dibelanjakan dalam satu suku kewangan.

Pelaburan dilaksanakan bagi memberi pengukuhan kepada rangkaian Maxis, penyelesaian perusahaan dan liputan fiber serta penggunaan berhemah bagi mengurangkan hayat spektrum.

Bagaimanapun, ia menyebabkan keuntungan selepas cukai penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu pada suku keempat 2021 susut 9.4 peratus kepada RM289 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Maxis dalam kenyataannya berkata, pelaburan berskala besar yang berterusan dilaksanakan kumpulan mengakibatkan kos susut nilai dan pelunasan yang tinggi.

"Maxis sentiasa mengutamakan pengalaman pelanggan yang terbaik.

Pelaburan itu termasuklah untuk memastikan prestasi tinggi Rangkaian Menyeluruh, penyelesaian perusahaan serta komitmen untuk Jalinan Digital Negara (JENDELA) termasuk fiber ke rumah pada tahun lalu," katanya.

Maxis berkata, secara keseluruhannya, kumpulan masih lagi mampu menutup tahun kewangan penuh 2021 dengan kukuh.

Ini, katanya, berdasarkan prestasi suku keempat yang berdaya tahan, disebabkan pertumbuhan sihat dalam hasil perkhidmatan dan Aliran Tunai Bebas Operasi (OFCF) yang kukuh.

"Dengan kemajuan strategi konvergen yang baik, prestasi didorong oleh perniagaan mudah alih teras serta pertumbuhan kukuh dalam jalur lebar fiber dan tanpa wayar.

"Maxis mencatatkan keuntungan bersih yang sihat, disokong oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dinormalisasikan yang stabil, walaupun dengan pelaburan berterusan dalam negara untuk rangkaian mudah alih 4G, liputan fiber dan penyelesaian perusahaan.

"Pada suku dikaji, kumpulan turut menumpukan kepada program modal kerja Maxis dan pengurusan aliran tunai berhemah, yang memberikan pertumbuhan dua angka dari segi OFCF," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata kumpulan akan terus menumpukan pada penyampaian pengalaman peribadi yang tidak dapat ditandingi di negara ini.

Beliau berkata, ini terutama dalam persekitaran yang semakin digital apabila penggunaan data pelanggan meneruskan aliran menaik dengan purata 24GB sebulan.

Maxis, katanya, turut merekodkan tahap kepuasan pelanggan yang lebih tinggi iaitu pertambahan sebanyak 63 mata untuk suku keempat.

"Strategi konvergen dan ketangkasan kami dalam persekitaran yang berubah pantas membolehkan Maxis kekal berdaya tahan.

"Melalui pelaburan berterusan dalam rangkaian dan sokongan untuk rangkaian Malaysia, kami komited untuk membawa teknologi terbaik dan rangkaian menyeluruh bagi memastikan semua individu, keluarga dan perniagaan di Malaysia saling berhubung," katanya.

Berita Harian X