Rabu, 16 Februari 2022 | 1:56pm
SilTerra Malaysia Sdn Bhd
SilTerra Malaysia Sdn Bhd

DNeX raih manfaat pemulihan SilTerra

KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) berada pada landasan tepat untuk meraih manfaat daripada pemulihan SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra), disokong kekurangan bekalan cip yang berterusan dan peralihan struktur ke arah peranti 'More-than-Moore' (MtM).

CGS-CIMB Research dalam nota penyelidikannya berkata, ia meletakkan saranan 'tambah' kepada penarafan saham DNeX dengan harga sasaran (TP) RM1.60.

"SEMI, iaitu persatuan industri global yang mewakili rantaian bekalan pembuatan dan reka bentuk elektronik menjangkakan permintaan wafer MtM global berkembang pada purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 10 peratus dari 2017 hingga 2023," katanya.

CGS-CIMB berkata, persatuan itu mendedahkan pertumbuhan itu didorong oleh aliran mega seperti infrastruktur 5G tanpa wayar, kenderaan elektrik, Kecerdasan Buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

"DNeX sudah menyelesaikan beberapa aktiviti korporat yang mengubah kumpulan itu menjadi antara peserta utama semikonduktor di Malaysia menerusi pemerolehan bersama SilTerra pada Julai 2021," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, ia turut menjangkakan SilTerra melabur lebih RM900 juta dalam perbelanjaan modal (capex) bagi tahun kewangan penuh 2022 hingga 2024.

"Kumpulan itu merancang untuk meningkatkan pengeluaran lapisan topeng (ML) sebanyak 20 peratus kepada 10 juta ML setahun menjelang 2023.

"Kami menjangkakan SilTerra untuk memperoleh dua perjanjian pada separuh pertama tahun ini dengan kadar pengambilan sehingga 80 peratus daripada kapasitinya," katanya.

DNeX juga mengukuhkan pegangannya dalam Ping Petroleum Ltd (Ping) dengan pengambilalihan tambahan 60 peratus pada Jun 2021, kata CGS-CIMB.

"DNeX turut menikmati kadar cukai lebih rendah yang menyaksikan SilTerra memiliki lebih RM12 bilion dalam aset cukai tertunda yang tidak diiktiraf setakat Julai 2021 yang boleh mengimbangi dengan keuntungan pada masa depan," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X