Rabu, 9 Februari 2022 | 3:17pm
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut ketika sidang media di majlis pelancaran Kempen ‘Rangkaian Kita, Rangkaian Malaysia’ di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut ketika sidang media di majlis pelancaran Kempen ‘Rangkaian Kita, Rangkaian Malaysia’ di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Eizairi Shamsudin

Maxis sedang berunding untuk muktamad pelaksanaan 5G

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd sedang mengadakan rundingan dengan pengawal selia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memuktamadkan pelaksanaan rangkaian 5G kepada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis, Gokhan Ogut, berkata Maxis mengalu-alukan pelaksanaan 5G itu dan ia kini bekerjasama dengan pengawal selia dan kementerian berhubung perkara berkenaan.

"Maxis mengalu-alukan pelaksanaan 5G dan bekerjasama dengan pengawal selia dan kementerian.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat memberitahu anda tarikh pelancaran 5G itu sekarang kerana perundingan masih berjalan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen jenama 'Rangkaian Kita, Rangkaian Malaysia (RKRM)' hari ini.

Beliau berkata, 5G akan menjadi sebahagian daripada kempen RKRM yang akan memperkasakan rakyat Malaysia dan perniagaan di seluruh negara untuk dihubungkan dalam pebagai cara, pada setiap masa.

"Pelaksanaan 5G ialah satu lagi teknologi baharu sejak 25 tahun lalu. Ia pasti akan menjadi sebahagian daripada program RKRM kami dan ia memuji keseluruhan rangkaian komprehensif," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Loh Keh Jiat, berkata sebelum akhir tahun ini, Maxis akan mengadakan perkongsian dengan syarikat lain untuk menyediakan lebih banyak hiburan melalui penstriman langsung kepada pengguna.

"Kami akan terus meneroka dengan rakan kongsi kami untuk membawa lebih banyak kandungan dan perkhidmatan digital yang berkaitan kepada pengguna," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X