Isnin, 7 Februari 2022 | 10:09am
Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/OSMAN ADNAN
Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/OSMAN ADNAN

ALP komited labur hingga AS$1 bilion di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemaju infrastruktur pergudangan terbesar Taiwan, Ally Logistic Property Co Ltd (ALP) komited untuk melabur sebanyak AS$1 bilion (RM4.18 bilion) di Malaysia dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP, Charlie Chang, berkata Malaysia juga akan menjadi lokasi pertama operasi pergudangan pintar kumpulan di luar Taiwan.

Beliau berkata, langkah pengembangan ALP ke Malaysia ini adalah berdasarkan kepada kedudukan negara sebagai pasaran yang semakin meningkat dalam e-dagang.

Katanya, nilai barangan kasar (GMV) e-dagang diunjurkan meningkat kepada AS$30 bilion menjelang 2025 dengan pendapatan e-dagang meningkat 23.3 peratus tahun ke tahun kepada RM267.6 juta pada suku kedua 2021, didorong terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

"Industri rantaian bekalan Malaysia mewakili peluang besar yang belum diterokai. Pelaburan berskala besar dan model perniagaan ekonomi perkongsian akan menyaksikan industri mengalami lonjakan.

"Pasaran Malaysia menawarkan potensi yang sangat besar, dan kami yakin pelaburan kami di sini akan menarik lebih ramai pemain serantau dan pelaburan bernilai tinggi lain untuk memacu aspirasi Malaysia ke arah menjadi hab e-dagang serantau," katanya kepada BH baru-baru ini.

Chang berkata, pelaburan awal ALP di Malaysia adalah membina gudang pintar bernilai AS$180 juta yang dikenali sebagai OMega, di Bukit Raja, Selangor.

Beliau berkata, OMega ALP Bukit Raja dijangka akan dapat memulakan operasinya pada suku pertama 2024.

Katanya, gudang pintar ini akan membolehkan industri pengedaran dan penyimpanan dilaksanakan secara pintar sekaligus mengurangkan gangguan jika berlakunya situasi yang tidak diingini seperti pandemik COVID-19.

Ini kerana, teknologi yang digunakan di gudang pintar itu akan membolehkan operasi dilakukan secara digital sepenuhnya, jika diperlukan.

"Ini adalah komitmen ALP menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang serantau selain membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi lebih efiksyen dalam perniagaan mereka.

"ALP menyasarkan akan membina enam lagi kemudahan gudang pintar di Klang Vallley termasuk di Pulau Pinang dan Johor.

"Ia bagi memastikan setiap wilayah mempunyai kemudahan gudang pintar, memberikan lebih kecekapan kepada operasi dan kepuasan pelanggan dapat dipertingkat.

"Selain itu, ia juga membuka sekitar 3,000 peluang pekerjaan dengan sasaran awal sebanyak 500 pekerja tempatan di kemudahan OMega ALP Bukit Raja," katanya.

Chang berkata, penggunaan teknologi dalam pergudangan dan pengedaran akan memberi kesan positif kepada ekosistem digital Malaysia.

Beliau berkata, dengan teknologi pintar ALP, rakan niaga boleh meningkatkan pertumbuhan mereka untuk mencapai pasaran sasaran baharu dan membuka peluang pendapatan baharu.

ALP katanya mahu mengubah minda perniagaan tempatan dengan mendidik mereka tentang kepentingan untuk terus mendahului persaingan melalui pendigitalan dan automasi.

Ia katanya turut memberi peluang kepada jenama tempatan dan multinasional untuk berkembang di peringkat serantau serta mendapat manfaat daripada infrastruktur bertaraf dunia.

"ALP menyokong jenama daripada semua industri, menyediakan fleksibiliti dan penyelesaian tersuai berdasarkan keperluan.

"Kami juga membolehkan jenama tempatan mendigitalkan perniagaan tanpa pelaburan perisian dan perkakasan yang besar," katanya.

Berita Harian X