Rabu, 26 Januari 2022 | 8:34pm
Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon
Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon

Boost sasar jadi bank digital

KUALA LUMPUR: Boost, anak syarikat teknologi kewangan (fintech) Axiata Group Bhd, berhasrat menjadi bank digital bagi memenuhi keperluan pengguna dan peniaga di serata Asia Tenggara (SEA).

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon, berkata sejak memulakan operasi pada 2017, misi penyedia e-dompet itu adalah untuk memenuhi keperluan mereka yang kurang mendapat liputan kewangan menerusi platform teknologi berskala.

"Sepanjang empat tahun, kami telah memperkasakan operasi dan memperkukuhkan kebolehan memenuhi keperluan kewangan pengguna dan perniagaan kecil.

"Kini, perniagaan fintech kami dikendalikan oleh lima jenama berbeza – Boost Life, Boost Biz, Boost Credit, Boost Connect dan Boost Indonesia, dapat menjadikan kami antara kelompok kecil syarikat fintech yang menawarkan perkhidmatan pembayaran, peminjaman, penyelesaian perniagaan dan pengiriman wang rentas sempadan berskala besar di Malaysia," katanya dalam sesi taklimat media secara maya hari ini.

Sheyantha berkata, pada fasa berikutnya, Boost akan mengutamakan peluasan penyelesaian Buy-Now-Pay-Later (BNPL) pada tahun ini.

Kaatnya, Boost memiliki potensi khusus untuk menguasai segmen pasaran BNPL di Malaysia memandangkan ia sudah memiliki ciri asas untuk membina perniagaan berdasarkan pangkalan data pengguna yang besar dan aktif, rangkaian peniaga yang luas, infrastruktur penyelesaian dan pembayaran serta kebolehan digital menaja jamin dan mengumpul jenama terbaik dalam pasaran.

"Boost juga akan memperluaskan platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih rancak menyertai ekonomi digital.

"Baru-baru ini, Boost melancarkan platform penghantaran makanan dikenali Boost Makan dan kini sedang merancang pelancaran platform khusus untuk PKS memperoleh bahan mentah pada harga yang kompetitif.

"Selain itu, tumpuan turut disalurkan kepada menambahbaik kebolehfungsian dan keupayaan aplikasi peniaga supaya peniaga dapat memanfaatkan analitik dan pemahaman bagi mengembangkan skala perniagaan mereka," katanya.

Untuk pengguna pula, Ketua Pegawai Produk dan Inovasi Boost, Karthik Bhaskaran berkata, kerjasama dengan Mastercard yang baru diumumkan akan menumpukan pengeluaran kad prabayar fizikal dan maya tahun ini.

"Peluang perniagaan untuk Boost melalui kerjasama dengan Mastercard adalah luarbiasa, memandangkan lebih daripada 65 peratus transaksi tambah nilai dalam eDompet Boost dilakukan melalui perbankan dalam talian.

"Ini adalah pangkalan data pengguna mungkin yang boleh memanfaatkan kemudahan memiliki kad prabayar fizikal atau maya untuk transaksi mereka, selain perbelanjaan di e-dompet," katanya.

Berita Harian X