KUALA LUMPUR: Censof Holdings Bhd melantik Vicks Kanagasingam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Censof Digital Sdn Bhd (CDSB) berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Vicks mempunyai lebih 28 tahun pengalaman dalam peranan kepimpinan jualan, pembangunan perniagaan, pengurusan rakan kongsi/perikatan, pemasaran serta operasi terutama dalam industri telekomunikasi dan teknologi maklumat.
Beliau mengasaskan Internet of Thing (IoT) Integrator, yang diambil alih oleh Xperanti IoT (M) Sdn Bhd pada 2018 dan dilantik sebagai CEO Xperanti, pembekal rangkaian serta penyelesaian IoT berlesen yang pertama di Malaysia.
Vicks juga bekerjasama dengan peneraju global seperti Huawei, Alcatel-Lucent dan Logica sebagai rakan kongsi strategik untuk menembusi pasaran termasuk membangunkan perniagaan dalam industri telekomunikasi serta teknologi maklumat.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Censof, Ameer Shaik Mydin, syarikat itu amat berbesar hati untuk melantik Vicks bagi menerajui hala tuju masa depan CDSB memandangkan pengalamannya yang meluas dalam kecerdasan buatan, IoT dan Revolusi Perindustrian 4.0.
"Dianggap sebagai pakar industri terkemuka dan penyokong utama dalam penyelesaian IoT industri setempat, Vicks menyediakan bimbingan termasuk tunjuk ajar kepada syarikat pemula niaga untuk membantu mereka membangunkan kemahiran penyelesaian, bekerjasama serta mencipta bersama dengan rakan kongsi termasuk menyusun strategi untuk skala dalam Malaysia serta berkembang ke rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Vicks bercadang untuk membina ekosistem syarikat baharu teknologi tempatan, yang akan memacu pelan pendigitalan negara.
"Di sinilah, CDSB akan memainkan peranannya dalam mempercepatkan penggunaan teknologi dan inovasi, yang mana adalah salah satu daripada empat pemboleh dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Dengan pelbagai produk dan perkhidmatan yang dibangunkan oleh CDSB, kami mampu mengubah perusahaan mikro, kecil dan sederhana menjadi pemacu pertumbuhan baharu, yang adalah salah satu daripada 14 pengubah keadaan dalam RMK12," tambahnya.
CDSB, anak syarikat milik penuh Censof ditubuhkan sebagai penyedia penyelesaian digital sehenti yang memfokuskan pada transformasi digital, mobiliti dan Data Besar untuk mencapai kecemerlangan operasi, meningkatkan kebolehramalan serta mendayakan aliran hasil baharu.
-BERNAMA