Isnin, 24 Januari 2022 | 12:18pm
Pusat Operasi Rangkaian (NOC) di Malaysia akan memanfaatkan Enjin Operasi Ericsson yang terkini - Foto hiasan
Pusat Operasi Rangkaian (NOC) di Malaysia akan memanfaatkan Enjin Operasi Ericsson yang terkini - Foto hiasan

Ericsson bina pusat operasi rangkaian di Malaysia

KUALA LUMPUR: Ericsson mengukuhkan kehadiran 5G di Malaysia dengan membina Pusat Operasi Rangkaian (NOC) khusus untuk Digital Nasional Bhd (DNB).

NOC 5G DNB, yang berpangkalan di kemudahan Ericsson di Malaysia, akan memantau, menyelenggara dan mengurus kerosakan rangkaian, keselamatan serta prestasi rangkaian DNB dengan memanfaatkan Enjin Operasi Ericsson yang terkini.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro, berkata NOC adalah sebahagian daripada tawaran Perkhidmatan Terurus Ericsson untuk rangkaian 5G DNB.

Ia, katanya memerlukan pengurusan prestasi rangkaian 5G hujung ke hujung.

"Berteraskan analisis lanjutan dan algoritma pembelajaran mesin, Enjin Operasi Ericsson mampu meramalkan potensi isu rangkaian yang disebabkan oleh perkakasan, perisian atau faktor luaran.

"Setiap hari, ia dapat mengautomasikan hampir satu juta perintah rangkaian dan memproses penggera untuk mengelakkan isu rangkaian sebelum berlaku.

"Ia juga akan berfungsi sebagai titik hubungan pertama untuk semua Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) bagi isu teknikal, aduan pelanggan, prestasi rangkaian, hal berkaitan kualiti , isu-isu berkaitan pengebilan dan caj," katanya dalam satu kenyataan.

Hagerbro berkata, NOC 5G DNB adalah bukti komitmen kumpulan dalam memberikan pengalaman 5G bertaraf dunia yang cekap kos untuk rakyat dan perniagaan tempatan.

Beliau berkata, NOC akan menyokong infrastruktur 5G nasional dengan menyediakan pengesanan dan pengasingan kerosakan rangkaian yang proaktif, pantas, memantau peristiwa atau ancaman keselamatan dan mengurangkan masa tindak balas dan pembetulan.

Katanya, Ericsson NOC mampu mengekalkan rangkaian 5G berskala paling kompleks dan besar sepanjang masa dan akan berfungsi sebagai jaminan kepada MNO menggunakan rangkaian 5G DNB.

Selain itu, NOC akan membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai bakat tempatan serta memperoleh kemahiran dalam teknologi terbaharu.

Berita Harian X