Jumaat, 21 Januari 2022 | 8:37pm
Datuk Khairussaleh Ramli - Foto fail NSTP
Datuk Khairussaleh Ramli - Foto fail NSTP

CEO RHB Bank akan bercuti

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd mengumumkan bahawa Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli akan mengambil cuti berkuat kuasa 24 Januari 2022.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata sepanjang ketiadaan beliau, Mohd Rashid Mohamad akan dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab/pegawai utama, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Mohd Rashid kini adalah pengarah urusan perbankan borong kumpulan RHB Bank.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dengan cemerlang dari University of Wales Cardiff, United Kingdom dan ahli Institut Akauntan Malaysia.

Beliau memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1988 dan menghabiskan 14 tahun di Jabatan Peperiksaan/Penyeliaan dan Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan.

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman bekerja dalam pasaran kewangan dengan beberapa institusi kewangan di Singapura dan Malaysia, iaitu ABN Amro NV, The Royal Bank of Scotland dan AmBank Group.

Pengumuman lanjut akan dibuat berhubung perkara itu dalam masa terdekat, kata bank berkenaan.

Ketika ditutup hari ini, saham RHB turun 1.04 peratus kepada RM5.72 dengan 1.58 juta saham diurus niagakan.

-BERNAMA

Berita Harian X