Rabu, 19 Januari 2022 | 3:30pm
BNM memperkenalkan MYOR untuk meningkatkan integriti kadar penanda aras kewangan - Foto hiasan
BNM memperkenalkan MYOR untuk meningkatkan integriti kadar penanda aras kewangan - Foto hiasan

AmBank, Maybank perintis urus niaga swap MYOR

KUALA LUMPUR: AmBank Group dan Malayan Banking Bhd (Maybank) bersama-sama menyertai urus niaga swap kadar faedah (IRS) Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) yang pertama.

Ini kali pertama kadar rujukan baharu MYOR itu, yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada September 2021 sebagai alternatif kepada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR), digunakan dalam urus niaga IRS.

Urus niaga di antara kedua-dua bank berkenaan bagi nilai nosional RM500 juta menawarkan kedudukan baharu bagi perkembangan pasaran yang selanjutnya ke arah menggunakan MYOR sebagai penanda aras pilihan bagi pasaran tunai dan derivatif ringgit.

Di peringkat global, kadar rujukan alternatif seperti MYOR diperkenalkan untuk meningkatkan integriti kadar penanda aras kewangan sebagai sebahagian daripada peralihan kepada kadar berasaskan urus niaga, sejajar dengan pembaharuan Kadar Tawaran Antara Bank London (LIBOR) selepas krisis kewangan global.

"Kadar rujukan alternatif ini bertujuan menjadi kadar penanda aras yang lebih kukuh dan berdasarkan urus niaga di pasaran aktif dan mudah tunai.

"Kerjasama Maybank dan AmBank adalah langkah ke arah memperkenalkan produk berasaskan MYOR ke pasaran untuk menyediakan instrumen lindung nilai yang boleh menyokong strategi pengurusan risiko yang berbeza-beza," menurut kedua-dua bank itu dalam kenyataan bersama, hari ini.

Bendahari Kumpulan dan Timbalan Pengarah Urusan Perbankan Borong AmBank Group, Jamzidi Khalid, berkata urus niaga itu melengkapkan usaha berterusan untuk terus memajukan pasaran kewangan Malaysia, seiring dengan inisiatif diterajui industri yang ditetapkan BNM, Jawatankuasa Pasaran Kewangan dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia.

"Ini menunjukkan kejayaan penting yang utama di pasaran kewangan Malaysia, dan kami berhasrat untuk terus menyaksikan perkembangan ini kerana kami semakin dekat untuk memanfaatkan pembaharuan ini.

"Urus niaga ini memaparkan semangat dan komitmen bank untuk menyampaikan penyelesaian efektif yang tepat pada masanya dan bersesuaian dengan keperluan pelanggan sambil pada masa sama menyumbang kepada suasana pasaran serta mudah tunai dalam memajukan landskap kadar faedah domestik," katanya.

Pengarah Urusan Pasaran Global dan Transaksi Perbankan Maybank, Md Farid Kairi menyifatkan langkah itu adalah kejayaan penting bagi kemajuan penanda aras MYOR, yang kritikal untuk meningkatkan keteguhan penanda aras kadar faedah dan memberikan pelanggan fleksibiliti lebih tinggi dalam penyelesaian kewangan yang relevan dan sesuai pada masanya bagi memenuhi keperluan mereka.

"Kami berharap untuk terus menyokong inisiatif BNM dalam menambah baik pasaran MYOR," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X