Jumaat, 7 Januari 2022 | 7:14pm
MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM)
MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM)

MSM dapat kontrak bekal gula kepada Coca-Cola

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) melalui anak syarikat milik penuhnya, MSM Prai Bhd (MSM Prai) memperoleh kontrak bekalan gula bertapis bernilai RM290 juta dengan The Coca-Cola Company (Coca-Cola).

Kontrak bekalan gula itu adalah untuk pengeluaran domestik dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar gula bertapis terkemuka dan pilihan Malaysia di Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad, berkata walaupun MSM telah memperoleh kontrak bekalan jualan berjangka dengan pelbagai pemain utama industri Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG) tempatan dan di rantau ini, peluang untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan Coca-Cola, jenama minuman ringan paling bernilai di dunia, adalah sebahagian daripada rangka tindakan eksport MSM sebagai lapan syarikat penapis gula bersepadu terkemuka global.

"Pencapaian ini adalah rangsangan tambahan kepada Kumpulan MSM setelah berjaya mencapai pemulihan pada 2021 dan mempercepatkan pengembangan MSM ke pasaran yang lebih luas di seluruh rantau ini.

"Paling utama, memandangkan kami telah menyatakan komitmen untuk mempergiatkan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sebagai permulaan MSM akan menyediakan bekalan gula mentah lestari untuk pasaran domestik Coca-Cola," katanya dalam satu kenyataan.

MSM telah bekerjasama dengan Coca-Cola di dalam negara selama lebih 10 tahun. Bagi kontrak dua tahun dengan Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd itu, MSM akan membekalkan bekalan gula bertapis untuk 2022 dan 2023.

Kontrak dua tahun itu juga terpakai untuk eksport yang bermula pada Disember 2021, yang mana bekalan gula bertapis akan dihantar ke destinasi antarabangsa berbeza, yang mana Coca-Cola mempunyai kehadiran yang kukuh.

MSM Prai mengendalikan kilang penapisan gula Prai di Pulau Pinang, yang mana kemudahan itu adalah kilang penapisan gula terbesar

di negara ini dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.05 juta tan gula bertapis.

Sementara MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd, yang terletak di lokasi strategik di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak satu juta tan gula bertapis, dijangka meningkatkan pengeluarannya pada 2022.

Kumpulan MSM mematuhi kawalan kualiti dan prosedur operasi standard yang ketat dan kilang penapisannya sentiasa diaudit untuk mengekalkan standard keselamatan dan kualiti makanan yang tertinggi.

MSM mampu menghasilkan gula dengan spesifikasi Coca-Cola yang turut merangkumi Standard Pensijilan Halal JAKIM Malaysia, MS1500:2009, Sistem Pensijilan Keselamatan Makanan (FSSC 22000 – Pembuatan), sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Amalan Perkilangan Baik (GMP) serta lain-lain pensijilan kualiti yang relevan kepada industri.

Kumpulan MSM menawarkan kepelbagaian produk gula berkualiti tinggi yang dipasarkan dan dijual dalam pelbagai bungkusan serta gred untuk memenuhi keperluan pasaran domestik dan eksport.

Keupayaan MSM untuk menghasilkan gula bertapis berasaskan spesifikasi International Commission for Uniform Methods of Sugar Analysis (ICUMSA) 25 bagi gula bertapis kualiti premium global telah menjadi kekuatan kepada Gula Prai menjadi pilihan dalam industri pengeluaran FMCG.

Berita Harian X