Rabu, 5 Januari 2022 | 3:12pm
Aerodyne adalah enyedia penyelesaian teknologi dron, data dan transformasi digital (DT3) berpangkalan di Malaysia.
Aerodyne adalah enyedia penyelesaian teknologi dron, data dan transformasi digital (DT3) berpangkalan di Malaysia.

Aerodyne ambil alih pegangan Synapse

KUALA LUMPUR: Aerodyne Group (Aerodyne) menandatangani satu perjanjian pengambilalihan pegangan penting dalam Synapse Innovation Sdn Bhd (Synapse) untuk mengukuhkan lagi penguasaannya dalam kecerdasan buatan (AI), analisis data serta sokongan teknologi bagi operasi antarabangsa di 35 negara.

Penyedia penyelesaian teknologi dron, data dan transformasi digital (DT3) berpangkalan di Malaysia itu berkata, ia dan Synapse akan membangunkan platform data dron generasi akan datang yang turut disertakan dengan penyelesaian dron autonomi pintar.

"Ketua Pegawai Eksekutif Synapse, Afnizanfaizal Abdullah yang juga saintis AI dikenali di Malaysia, akan terus menerajui syarikat itu dan kekal sebagai pemegang saham dalam perniagaan terbabit," kata kedua-dua syarikat terbabit dalam kenyataan bersama.

Synapse adalah sebuah syarikat AI dan analisis data yang menumpukan aspek reka bentuk dan pembangunan algoritma pembelajaran mesin bagi perkhidmatan analisis unjuran berteraskan pengkomputeran awan untuk pelbagai sektor termasuk pertanian, infrastruktur serta minyak dan gas.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne, Kamarul Muhamed pula menyifatkan pelaburan dalam Synapse sebagai yang pertama daripada beberapa siri penggabungan dan pengambilalihan masa akan datang yang menjadi tumpuan syarikat untuk memantapkan lagi teras kedua teknologi data.

"Synapse amat bertepatan dengan visi itu dan mempunyai kepakaran yang dapat menyumbang ke arah agenda ini. Aerodyne Group juga menyasarkan untuk mempercepat rancangan pertumbuhan Synapse secara meluas di bawah agenda pembinaan ekosistem teknologi bagi memacu teknologi Malaysia," katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Strategi Aerodyne Amir Zakwan Anuar berkata kumpulan itu akan memantapkan kelebihan sebagai syarikat teknologi dron dalam kelompok teratas dunia dan memperkukuh kedudukan bagi tujuan penyenaraian awam antarabangsa beberapa tahun lagi menerusi pelaburan dalam Synapse.

-BERNAMA

Berita Harian X