Rabu, 5 Januari 2022 | 12:04pm
KIPMall Kota Warisan
KIPMall Kota Warisan

AmBank, KIP Group sedia terminal pembayaran mudah

KUALA LUMPUR: AmBank bekerjasama dengan KIP Group untuk menyediakan kaedah pembayaran tanpa tunai menerusi mTAP, yang membolehkan kebanyakan telefon pintar menjadi terminal penerimaan pembayaran.

mTAP akan membolehkan peniaga menerima pembayaran kad debit dan kredit daripada pelanggan tanpa perlu melabur untuk mendapatkan terminal kad yang mahal.

Perkhidmatan yang disediakan kepada penyewa di KIPMall Kota Warisan itu menyasar untuk memberikan tahap keselamatan dan keselesaan yang lebih baik kepada pelanggan untuk membuat pembayaran tanpa tunai.

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada transformasi digital AmBank dan sejajar dengan visi kerajaan untuk memupuk pendigitalan dengan menjadi hab digital, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank, Aaron Loo, berkata terdapat peningkatan permintaan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi kaedah pembayaran tanpa sentuh yang mudah dan pantas.

Katanya, pembayaran digital dipercepatkan oleh pandemik dengan orang ramai semakin memilih transaksi tanpa tunai.

"Kami gembira bekerjasama dengan KIPMall untuk menyediakan keselesaan mTAP kepada penyewa dan pelanggan. Menerusi mTAP, kami dapat terus menambah nilai rakan peniaga menerusi perkhidmatan tambahan seperti PayG yang membolehkan mereka mendapatkan pinjaman pantas menerusi akaun saudagar kami," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KIP Group of Companies, Valerie Ong, berkata transaksi tanpa tunai sudah direvolusi khususnya dalam bidang peruncitan.

Beliau berkata, pemilik perniagaan di KIPMall Kota Warisan dan pelanggan mulai beradaptasi dengan peralihan kepada pembayaran digital.

"Mereka mendapat manfaat daripada keselesaan dan keselamatan yang dikaitkan dengan kaedah pembayaran ini, yang sejajar dengan kemajuan global. Kami percaya kerjasama dengan AmBank akan memimpin KIPMalls di barisan hadapan transaksi tanpa tunai," katanya.

Peniaga boleh mendapat pelbagai manfaat di hujung jari dengan menggunakan mTAP, termasuk pembayaran harian mudah oleh AmBank ke akaun saudagar selain akses ke portal saudagar untuk menyemak sejarah transaksi kad.

Fungsi mTAP ketika ini hanya disediakan di telefon mudah alih Android dengan keupayaan NFC.

Pelaburan kos rendah ini membolehkan PKS mikro mendigitalkan penyelesaian pembayaran mereka secara mudah alih dan fleksibel.

Sejak dilancarkan pada November 2020, lebih 1,100 peniaga sudah mendaftar untuk menggunakan mTAP di seluruh negara.

Penerimaan pembayaran tanpa tunai menerusi mTAP patuh dan diiktiraf skim kad seperti PayNet (MyDebit), Visa (PayWave) dan Mastercard (PayPass).

Berita Harian X