Isnin, 3 Januari 2022 | 12:15pm
Maxis sentiasa berusaha untuk menyerlahkan potensi warga kerja melalui nilai dan budaya syarikat - Foto hiasan
Maxis sentiasa berusaha untuk menyerlahkan potensi warga kerja melalui nilai dan budaya syarikat - Foto hiasan

Maxis diiktiraf majikan pilihan graduan

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd meraih dua pengiktirafan terbaharu bagi kategori telekomunikasi merangkumi juara dalam Graduates' Choice Award 2022 dan naib juara dalam M100 Leading Graduate Employers Awards 2021.

Firma telekomunikasi itu dalam satu kenyataan berkata, berpegang kepada warga kerja sebagai asetnya yang bernilai, ia sentiasa berusaha untuk menyerlahkan potensi warga kerja melalui nilai dan budaya syarikat.

"Budaya pembelajaran berterusan Maxis, kampus bakat muda, pembabitan bersama rakan kongsi dan inisiatif pembabitan yang kukuh telah membawa dua pengiktirafan terbaru bagi kategori telekomunikasi," katanya.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Maxis, Natalia Navin, berkata budaya kerja adalah teras utama yang menjadi panduan dalam mengasah bakat baharu.

"Sejajar dengan itu, kami amat berbesar hati terpilih sebagai majikan terkemuka di negara ini, yang juga menjadi bukti keberkesanan budaya Maxis Way 2.0 dalam membangunkan bakat berpotensi tinggi dan yang sedia ada.

"Dalam komitmen untuk membina organisasi yang cekap dan bertaraf dunia, kami akan terus menyediakan peluang pekerjaan yang bermakna bagi warga kerja, selain meningkatkan kemahiran mereka untuk menyokong digitalisasi Maxis," katanya.

Graduates' Choice Award menyaksikan penyertaan 23,000 mahasiswa Malaysia daripada lebih 100 universiti swasta dan awam bagi proses pengundian Majikan Siswazah Pilihan Graduan 2022.

Maxis menjuarai kategori telekomunikasi dan tempat ketujuh secara keseluruhan, diiringi oleh Google, Intel, Maybank, Microsoft, Intel dan lain-lain.

Begitu juga bagi M100 Leading Graduate Employers Awards 2021 yang diundi oleh ribuan pelajar dari universiti tempatan melalui tinjauan M100, bagi berkongsi keperluan mereka bagi pekerjaan pertama.

Maxis juga mengukuhkan kedudukannya, dengan menjadi naib juara dalam kategori telekomunikasi.

Maxis berkata, bagi memastikan warga kerjanya bersedia untuk perubahan masa depan dan terus menerajui, syarikat itu juga mempunyai program biasiswa, latihan amali serta program graduan berfokus pada bakat muda dan wanita dalam Sains, Kejuruteraan, Teknologi dan Matematik (STEM) serta keupayaan kepimpinan dan berinovasi.

Berita Harian X