Jumaat, 31 Disember 2021 | 7:55pm
Public Mutual menguruskan dana berjumlah RM104 bilion - Foto hiasan
Public Mutual menguruskan dana berjumlah RM104 bilion - Foto hiasan

Public Mutual agih RM164 juta bagi 23 dana

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual, mengumumkan agihan berjumlah lebih RM164 juta bagi 23 dana setakat pada 31 Disember 2021.

Pengurus unit amanah itu mengisytiharkan agihan kasar tertinggi adalah bagi PB Aiman Sukuk Fund iaitu pada 4.00 sen seunit dikuti oleh Public Strategic Bond Fund dan Public Islamic Strategic Bond Fund yang masing-masing pada 3.10 sen seunit.

Agihan kasar 2.00 sen seunit turut diumumkan masing-masing bagi PB Asia Pacific Enterprises Fund, Public Islamic Enhanced Bond Fund dan Public Savings Fund, menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Public Mutual juga mengumumkan agihan 1.59 sen seunit bagi Public Wholesale Vietnam Equity Fund; 1.50 sen seunit untuk Public e-Islamic Sustainable Millennial Fund dan 1.20 sen seunit bagi PB Mixed Asset Conservative Fund.

Ia juga mengisytiharkan agihan 0.75 sen seunit untuk PB Balanced Sequel Fund; 0.50 sen seunit bagi Public Islamic Growth & Income Fund; 0.25 sen seunit kepada PB Growth Sequel Fund dan 0.15 sen seunit untuk Public Islamic Savings Fund.

Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia dengan lebih 170 dana di bawah pengurusannya.

Ia juga penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan dan menguruskan sembilan dana PRS.

Setakat akhir November 2021, saiz dana yang diuruskan syarikat itu berjumlah RM104 bilion.

-BERNAMA

Berita Harian X