Jumaat, 31 Disember 2021 | 2:54pm
Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaludin (depan) sedang menerangkan pelaksanaan pemasangan sistem solar atas bumbung di UTHM kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Batu Pahat, baru-baru ini - Foto ihsan TNB
Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaludin (depan) sedang menerangkan pelaksanaan pemasangan sistem solar atas bumbung di UTHM kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Batu Pahat, baru-baru ini - Foto ihsan TNB

TNB, UTHM jalin kerjasama projek solar

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama pintar melalui pemasangan solar bumbung.

Kerjasama turut membabitkan penyelidikan dan latihan bersama Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dalam bidang tenaga boleh baharu (RE), khususnya tenaga solar.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata syarikat utiliti itu sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu UTHM dalam penyelidikan dan latihan berkaitan sistem solar fotovoltaik.

Katanya, bagi tujuan berkenaan, GSPARX melaksanakan pemasangan sistem solar di UTHM Kampus Parit Raja membabitkan 25 bangunan termasuk laluan pejalan kaki dan parkir solar.

"Ia sudah mula beroperasi sejak 12 November lalu dan pemasangan ini tidak membabitkan sebarang modal kepada UTHM.

"TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu UTHM dalam penyelidikan dan latihan berkaitan sistem solar fotovoltaik sementara mencapai aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan MOU Kerjasama Penyelidikan dan Pelancaran Sistem Solar di antara UTHM dan GSPARX di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Pertukaran dokumen MOU itu disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, setakat hari ini universiti itu adalah institut pengajian tinggi awam pertama yang mempunyai pemasangan solar bumbung bangunan terbesar di Malaysia.

"Projek solar bumbung bangunan di kampus induk UTHM yang membabitkan 25 bangunan terpilih dengan kapasiti 6.9MWp ini dijangka dapat menjimatkan RM25.7 juta bil elektrik universiti sepanjang tempoh perjanjian 21 tahun," katanya.

Inisiatif itu mengurangkan pencemaran udara melalui pengurangan pembebasan karbon dioksida (CO2) kira-kira 6,203 metrik tan setiap tahun.

Jumlah itu bersamaan dengan pengurangan sebanyak 1,359 kenderaan setahun di atas jalan raya atau penanaman 103,293 anak pokok yang dapat bertindak sebagai sinki karbon bagi penyerapan karbon dalam tempoh sepuluh tahun.

UTHM sebelum ini memeterai perjanjian solar melalui skim Perjanjian Pembekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) dengan GSPARX dan TNB di Kampus UTHM Parit Raja, Johor, pada 29 Januari 2021.

Sehingga kini, GSPARX berjaya memperolehi lebih 1,000 pelanggan dengan kapasiti solar 116MWp di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri (SELCO) menerusi skim SARE dan pembelian terus.

Berita Harian X