Khamis, 30 Disember 2021 | 3:15pm
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)

MAHB terbit sukuk RM800 juta

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerbitkan Sukuk Wakalah Senior bernilai RM800 juta di bawah Program Sukuk Wakalah RM5 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengendali lapangan terbang itu berkata, terbitan sukuk berkenaan terbahagi kepada tiga peringkat dengan peringkat pertama sebanyak RM475 juta, peringkat kedua berjumlah RM225 juta dan peringkat ketiga sebanyak RM100 juta.

Ia berkata, sukuk berkenaan mempunyai tempoh selama lima tahun, tujuh tahun dan 10 tahun dengan kadar agihan masing-masing sebanyak 3.87 peratus, 4.14 peratus dan 4.25 peratus.

"Sukuk Wakalah Senior yang diterbitkan di bawah Program Sukuk Wakalah telah diberikan penarafan kredit 'AAA' dengan tinjauan yang stabil oleh RAM Rating Services Bhd.

"Hasil daripada terbitan sukuk akan digunakan oleh kumpulan syarikat MAHB untuk keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan am, tujuan am korporat, pembiayaan semula pinjaman sedia ada atau pembiayaan kumpulan MAHB dan/atau pembayaran yuran dan perbelanjaan di bawah Program Sukuk Wakalah, yang kesemuanya adalah patuh Syariah," katanya.

MAHB berkata, terbitan sukuk itu mewakili penerokaan semula pengendali lapangan terbang berkenaan dalam pasaran modal hutang sejak terbitan terakhirnya pada 2020.

Ia berkata, pihaknya berjaya memanfaatkan prospek pemulihan pasaran dan memperoleh permintaan kukuh untuk Sukuk Wakalah Senior dengan nisbah liputan akhir sebanyak lebih lima kali saiz terbitan akhir.

"Lantaran itu, MAHB juga berjaya memperkukuhkan harga akhir Sukuk Wakalah Senior secara ketara daripada panduan harga awal dan Sukuk Wakalah Senior kemudiannya dinaikkan daripada saiz sasaran awal RM500 juta kepada RM800 juta," katanya.

MAHB berkata, HSBC Amanah Malaysia Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd adalah Pengurus Utama Bersama bagi terbitan sukuk itu.

Berita Harian X