Isnin, 27 Disember 2021 | 4:59pm
Bank Muamalat Malaysia Bhd
Bank Muamalat Malaysia Bhd

Bank Muamalat nafi tolak cek kerana 'tidak halal'

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd tidak pernah mengkategorikan cek yang diterimanya sebagai halal atau sebaliknya.

Menurut bank berkenaan, laporan insiden cek yang didakwa dikembalikan oleh cawangan Bank Muamalat Seremban atas alasan tidak halal adalah tidak tepat.

Katanya, sebagai sebuah institusi perbankan, pihak bank menerima semua cek yang sah yang tertera butiran yang lengkap serta tepat.

"Bank Muamalat menghubungi pelanggan kerana ada kesilapan teknikal di mana nama persatuan yang tertera pada cek berkenaan berbeza dengan nama yang didaftarkan. Berikutan itu, pelanggan diminta untuk membuat pembetulan.

"Sebarang pertanyaan yang dikemukakan oleh pihak bank hanya bertujuan memenuhi prosedur pematuhan perbankan sedia ada, serta bagi tujuan kepentingan pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam satu sidang media bersama di antara pihak Bank Muamalat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong serta pelanggan terbabit yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada pagi ini, semua pihak mencapai kata sepakat bahawa tiada elemen halal atau sebaliknya berhubung pendepositan cek berkenaan, kecuali isu teknikal dan salah faham terpencil.

Pihak terbabit juga bersetuju bahawa salah faham yang berlaku tiada kaitan dengan isu halal atau sebaliknya dan bersepakat bahawa kenyataan itu tidak tepat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat sentiasa bersedia untuk memberi layanan sebaiknya kepada semua pihak yang berurusan dengan pihak bank, tanpa mengira agama dan bangsa.

"Bank Muamalat komited untuk menyampaikan khidmat pelanggan yang bermutu dan telus untuk memastikan kepuasan semua pelanggan kami.

"Sebagai sebuah institusi perbankan Islam, operasi Bank Muamalat tertakluk kepada pematuhan prinsip Syariah, namun perkhidmatan perbankan kami diberi kepada semua pihak yang layak, tanpa mengira fahaman agama mahupun bangsa," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bank Muamalat sila layari www.muamalat.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 03-2600 5500.

Berita Harian X