Isnin, 27 Disember 2021 | 11:10am
Maybank adalah kumpulan perbankan terbesar tempatan - Foto hiasan
Maybank adalah kumpulan perbankan terbesar tempatan - Foto hiasan

Neobanks, fintech bukan ancaman untuk Maybank

KUALA LUMPUR: Maybank tidak melihat peningkatan pesat bank digital atau turut dikenali sebagai 'neobanks' dan teknologi kewangan (fintech) sebagai suatu ancaman kepada kumpulan perbankan terbesar tempatan itu.

Sebaliknya, ia mendapat inspirasi untuk mencipta semula perjalanan pelanggan dengan mempertingkatkan kepantasan, kemudahan dan fungsi di dalam platform digitalnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias, berkata bank itu sentiasa mengambil kira keperluan pengguna dengan menyediakan inovasi yang berupaya menyelesaikan masalah dan memberikan pengalaman terbaik semasa mencipta perkhidmatan atau produk digital baharu.

"Kejayaan kami juga datang daripada komitmen untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap dan interaksi pelanggan yang diperibadikan, mengemas kini proses bahagian sokongan menggunakan mesin pembelajaran dan analitik data.

"Bagi mengekalkan momentum secara digital dan melindungi pihak berkepentingan, kami berhasrat untuk terus meningkatkan infrastruktur teknologi maklumat (IT) dan memantau ketersediaan sistem untuk terus memastikan keupayaan pertahanan siber daripada potensi risiko yang mungkin timbul, demi keselamatan pelanggan.

"Kami juga akan terus memanfaatkan perkongsian strategik untuk memperkenalkan produk baharu dan meningkatkan tawaran sedia ada bagi memastikan daya saing perniagaan.

"Ini mendorong kami untuk menyampaikan pengalaman yang relevan bagi melengkapkan gaya hidup pelanggan serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik," katanya kepada BH.

Abdul Farid berkata, Maybank turut merombak platform perbankannya di seluruh rantau dengan meningkatkan keupayaan pembayaran dan membolehkan keupayaan pemprosesan secara terus (STP) dalam talian.

Bank itu, katanya mengupayakan pemprosesan dalam talian secara terus (STP) untuk produk perbankan terpilih Maybank2u di seluruh pasaran Singapura, Indonesia, Kemboja dan Filipina.

"Kami juga melancarkan Pemindahan Dana Merentas Sempadan Maybank-Bakong, ciri pemindahan dana luar negara pertama pada aplikasi MAE, iaitu cara paling mudah serta menjimatkan kos untuk pelanggan Maybank di Malaysia yang ingin menghantar dana terus kepada rakan, keluarga atau perniagaan rakan kongsi di Kemboja.

"Di samping itu, kami melancarkan pemindahan rentas sempadan masa nyata dua hala Malaysia-Singapura dalam usaha kerjasama untuk mengukuhkan kehadiran kami di koridor ini.

"Tambahan pula, kami membenarkan pengeluaran wang tunai dengan kadar tukaran khas mesin juruwang automatik (ATM) di Malaysia untuk pemegang kad Singapura meningkatkan lagi keupayaan ini," katanya.

Abdul Farid menambah, Maybank sentiasa berusaha untuk memastikan produk dan perkhidmatan digital yang diperkenalkan akan relevan selaras dengan pelan M25, salah satu objektif strategiknya untuk menerapkan digital secara menyeluruh di seluruh operasi.

Mengenai peluang teknologi 5G kepada bank itu, beliau berkata, Maybank menjangkakan pelanggan akan menuntut lebih banyak pengalaman perbankan untuk mendapatkan perjalanan yang lebih lancar serta perkhidmatan dalam talian dari hujung ke hujung merentas pilihan gaya hidup.

"Oleh yang demikian, kami berhasrat untuk memanfaatkan teknologi 5G dalam perkhidmatan perbankan teras untuk memenuhi keperluan pelanggan dan bertindak dalam masa nyata demi mencipta pengalaman hiper-peribadi.

"Kami juga berhasrat untuk memanfaatkan peningkatan kelajuan, kapasiti dan kelewatan lebih rendah ditawarkan oleh 5G untuk mempercepatkan proses yang rumit.

"Ia bagi memberikan perkhidmatan yang lebih pantas untuk perkhidmatan perbankan selain memberikan penjimatan kos lebih besar kepada bank serta pelanggan," katanya.

Berita Harian X