Khamis, 23 Disember 2021 | 6:48pm
(Gambar fail) Wing K Lee. - NSTP/RAMDZAN MASIAM.
(Gambar fail) Wing K Lee. - NSTP/RAMDZAN MASIAM.

YES rangkaian pertama tawar 5G

KUALA LUMPUR: YTL Communications bakal menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang akan melancarkan perkhidmatan 5G bagi perkhidmatan telekomunikasi YES ke pasaran terpilih di Lembah Klang.

Pengumuman itu dibuat susulan daripada pelancaran perkhidmatan 5G Malaysia oleh Digital Nasional Bhd (DNB) pada hari ini.

Justeru, YES akan melancarkan pelan istimewa YES #FirstTo5G yang merangkumi akses 5G tanpa had sehingga 1 April 2022.

Pelanggan yang mendaftar untuk mana-mana pelan berkenaan boleh dapatkan pengalaman teknologi mudah alih generasi kelima yang terkini, yang menawarkan kelajuan lebih tinggi, rangkaian yang lebih terjamin, latensi rendah, dan kapasiti rangkaian lebih besar bersama dengan telefon mudah alih 5G.

Menerusi 5G, pelanggan boleh menikmati kelajuan muat turun, melayari laman web, dan penstriman video yang lebih pantas.

YES akan menawarkan tiga pelan menarik iaitu YES FT5G Prabayar Tanpa Had berharga RM30 dengan pelanggan akan menikmati rangkaian 5G tanpa had sehingga 1 April 2022, 4G LTE(7Mbps) tanpa had dan 9 GB Hotspot serta panggilan atas talian dan luar talian tanpa had.

Bagi pelan kedua iaitu YES FT5G Pascabayar 49, dengan harga RM49, pelanggan akan menikmati rangkaian 5G tanpa had sehingga 1 April 2022, 100GB 4G LTE dan panggilan atas talian serta luar talian tanpa had.

Pelan ketiga pula iaitu YES FT5G Pascabayar 99 Telefon Bundle, pelanggan akan menerima pelbagai telefon percuma atau disubsidi untuk membolehkan mereka menaik taraf dan menikmati 5G.

Antara pilihan telefon bimbit yang tersedia ialah XiaoMi, Oppo, Vivo, Realme.

Harga bulanan pelan ini sebelum rebat adalah RM99 sebulan, di mana pelanggan akan menikmati rangkaian 5G tanpa had sehingga 1 April 2022, 250 GB 4G LTE serta panggilan atas talian dan luar talian tanpa had.

Untuk mendaftar, pelanggan perlu kunjungi laman web www.yes.my/FT5G, dari Pengedar Sah atau dari 163 outlet MyNews di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.

Jika pelanggan mempunyai telefon yang menyokong 5G, aktifkan kad SIM melalui aplikasi MyYes (App Store/Google Play) dan masukkan SIM ke dalam telefon untuk dapatkan pengalaman 5G.

Jika berada di luar kawasan 5G, rangkaian 4G LTE YES akan digunakan.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee, berkata inisiatif hebat yang dilaksanakan kerajaan melalui DNB pasti akan memacu negara kita ke arah masa depan dunia kesalinghubungan digital.

"YES ditubuhkan untuk menjadikan pengalaman seharian kita lebih mudah dan lebih baik bagi semua dengan memanfaatkan teknologi tercanggih untuk diaplikasikan di dunia sebenar.

"Kami memainkan peranan untuk membantu Malaysia mencapai potensinya dengan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses 5G, dengan menyediakan pelan terbaik yang membenarkan akses terhadap 5G dan peranti 5G," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berita Harian X