Rabu, 22 Disember 2021 | 3:23pm

Pertama Digital, iFIBER sediakan khidmat internet harga patut

KUALA LUMPUR: Pertama Digital Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan iFIBER Holdings Sdn Bhd (iFIBER) bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama menyediakan kesalinghubungan internet berkelajuan gigabit pada kadar berpatutan.

Pengarah Strategi Pertama Digital Saify Akhtar berkata 1,000 megabit sesaat (Mbps) atau sambungan gigabit tidak lama lagi akan menjadi keperluan bagi setiap isi rumah untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital.

"Peralihan Asia Tenggara ke digital baru-baru ini telah menyaksikan permintaan yang menggalakkan untuk perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi. Fikirkan mengenai panggilan serentak, video dan aplikasi awan yang kita telah semakin biasa menggunakannya dalam tempoh dua tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif iFIBER Wan Mohalina Wan Mohammad berkata syarikatnya telah memperkenalkan model perniagaan rangkaian akses terbuka yang mengutamakan kepentingan pengguna akhir di Sabah dengan rancangan untuk mengembangkannya ke Lembah Klang dan Johor Bahru.

Pelanggan boleh memilih daripada rangkaian meluas penyedia perkhidmatan Internet (ISP) dengan syarat yang fleksibel.

"Malah, pelanggan juga boleh memilih untuk meningkatkan kelajuan sambungan mereka serta-merta bergantung kepada keperluan khusus mereka," katanya.

Kumpulan Pertama Digital mengendalikan portal sistem pesanan ringkas (SMS) kerajaan mySMS, aplikasi pembayaran mudah alih MyPay, serta eJamin, perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah dalam talian untuk memudahkan dan mempercepat urusan ikat jamin.

Sementara itu, iFIBER ialah syarikat telekomunikasi Malaysia berlesen yang mencipta rangkaian akses terbuka, membolehkan pengguna bertukar serta-merta antara berbilang ISP. Syarikat itu telah menghubungkan 12,000 pangsapuri secara digital di Kota Kinabalu.

– Bernama

Berita Harian X