Selasa, 21 Disember 2021 | 4:19pm
Spritzer menyerahkan bantuan air minuman ke pusat-pusat penempatan sementara untuk diagihkan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.
Spritzer menyerahkan bantuan air minuman ke pusat-pusat penempatan sementara untuk diagihkan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

Spritzer edar air minuman percuma kepada mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Pengeluar air mineral, Spritzer menghulur bantuan segera kepada mangsa banjir dengan mengedar air minuman ke pusat perpindahan sementara.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, berikutan bencana luar jangka itu, ia segera membuat persiapan untuk mengedarkan air mineral menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ke pusat-pusat pemindahan banjir terpilih di seluruh negara.

"Air botol mineral Spritzer bernilai lebih daripada RM50,000 kini dibawa kepada mangsa banjir dan petugas penyelamat di kawasan terjejas, di mana mangsa tidak mempunyai akses kepada air bersih yang penting untuk menyahidrasi dan memastikan kebersihan setiap masa," kata Spritzer.

Menurut laporan, terdapat lebih 22,000 orang dipindahkan di seluruh Semenanjung Malaysia pada Ahad ketika negara berdepan bencana banjir terburuk sejak beberapa lama disebabkan hujan lebat berhari-hari lamanya.

Spritzer memohon semua lapisan masyarakat supaya berwaspada dengan air yang tercemar dan mengelak meminum air dari sumber yang tidak diketahui. Orang ramai digalakkan supaya memasak air pili sebelum digunakan untuk meminum, memberus gigi dan sebagainya.

"Jangan menggunakan air yang kurang jernih atau air yang berbau, dan mengelakkan air yang tercemar terkena pada kulit dan mata," kata Spritzer lagi.

Berita Harian X