Isnin, 20 Disember 2021 | 10:32am
Dari kiri Chaang Yunhua, Pengurus Rakan Kongsi, Penstoran Awan dan Kecerdasan Buatan, Huawei Malaysia; Lim Chee Siong, Naib Presiden, Penstoran Awan dan Kecerdasan Buatan, Huawei Malaysia; Datuk KY Lim, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan HOMEVEST dan Datuk Marcus Low Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif HOMEVEST.
Dari kiri Chaang Yunhua, Pengurus Rakan Kongsi, Penstoran Awan dan Kecerdasan Buatan, Huawei Malaysia; Lim Chee Siong, Naib Presiden, Penstoran Awan dan Kecerdasan Buatan, Huawei Malaysia; Datuk KY Lim, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan HOMEVEST dan Datuk Marcus Low Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif HOMEVEST.

Homevest, Huawei tawar penyelesaian inovatif bandar pintar

KUALA LUMPUR: Homevest Sdn Bhd (Homevest) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi perkongsian strategik bagi menawarkan penyelesaian inovatif dalam pembangunan bandar pintar.

Menerusi MoU itu, Bandar Pintar Homevest akan dilengkapi dengan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang dibekalkan oleh Huawei untuk mengoptimumkan kedayatahanan ekonomi serta persekitaran sekali gus meningkatkan kualiti hidup pelanggan mereka.

Homevest berkata, sebagai syarikat pelaburan, pengurusan dan pembangunan hartanah terkemuka sedang dalam perancangan untuk membangunkan ekosistem Bandar Pintar yang mampan bagi memenuhi kehendak pertumbuhan dan penduduk bandar yang padat.

"Syarikat juga bakal mereka ruang konsep tinggal dan bekerja secara bersama yang digabungkan dengan teknologi gaya hidup pintar.

"Dengan menggabungkan teknologi canggih dan kemudahan pintar ke dalam rumah, rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada gaya hidup bandar yang lebih cekap, produktif dan mampan sambil menikmati kehidupan yang bahagia dan hubungan sosial yang erat," katanya dalam satu kenyataan.

Konsep Bandar Pintar telah menjadi pendekatan penting dalam pembangunan bandar mampan banyak negara maju dan yang sedang membangun.

Teknologi seperti Rangkaian Tanpa Wayar Termaju, Objek Rangkaian Internet (ORI), Pengkomputeran Awan, Komunikasi dan Kerjasama Bersepadu (UC&C) dan Pusat Operasi Pintar (IOC) ialah penyelesaian utama yang membolehkan inisiatif Bandar Pintar dilaksanakan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Homevest, Datuk KY Lim, berkata pihaknya optimis dan bangga dengan kerjasama terjalin dengan syarikat gergasi teknologi komunikasi dari China itu.

"Perkongsian itu sejajar sepenuhnya dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) HOMEVEST. Dasar dan visi kami ialah untuk membentuk komuniti 'smart living' dengan hubungan yang erat," katanya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Homevest, Datuk Marcus Low pula berkata, pakatan strategik itu seiring dengan impian dihajati syarikat berkenaan.

"Dalam pelan hala tuju masa depan, kami melihat diri ini sebagai syarikat pembangunan hartanah pilihan dengan fokus untuk memacu kemampanan dalam pembangunan bandar pintar sambil mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham dan pemilik rumah kami," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Penstoran Awan (Cloud) dan Kecerdasan Buatan (AI) Huawei Malaysia, Lim Chee Siong berkata, dalam sektor bandar pintar, Huawei akan menumpukan kepada infrastruktur ICT dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mengatur ekosistem yang teguh dengan penyelesaian menyeluruh untuk pelanggan mereka.

Katanya, bagi pembangunan Bandar Pintar Homevest, Huawei akan menyediakan pelbagai jenis produk dan penyelesaian ICT, termasuk modul komunikasi dan sistem pengendalian IoT, akses berwayar dan tanpa wayar, rangkaian tangkas, pusat data teragih berasaskan awan dan platform data raya.

"Semua ini demi memastikan gerak gempur transformasi digital sesama organisasi. Kolaborasi dengan Homevest akan menyaksikan inovasi usaha sama bagi pembangunan kepintaran hiburan dan penyampaian kandungan digital, penyelesaian berkaitan teknologi Huawei 5G, Awan dan Kecerdasan Buatan (Al).

"Kami bersedia untuk menyediakan kepakaran dan sokongan dengan jalinan kerjasama bagi memastikan kejayaan projek ini," katanya dalam kenyataan sama.

Terdahulu, Homevest dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pembangunan Lestari anjuran Junior Chamber International Malaysia (JCIM) 2021 bagi projek tanggungjawab sosial korporat yang dimulakan semasa pandemik COVID-19.

Ditubuhkan pada 2016, Homevest menawarkan nilai pulangan untuk rakan kongsi mereka dan menyediakan pemilikan rumah mampu milik untuk pelanggan.

Berita Harian X