Khamis, 16 Disember 2021 | 3:56pm
Tenaga Nasional Bhd (TNB)
Tenaga Nasional Bhd (TNB)

TNB terima pengiktirafan peringkat dunia

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) merangkul pengiktirafan Brand of the Year buat kali kelima dalam anugerah berprestij World Branding Awards edisi ke-14, anjuran World Branding Forum (WBF) yang berpangkalan di London, baru-baru ini.

World Branding Awards adalah anugerah terunggul oleh WBF bagi mengiktiraf pencapaian jenama terbaik dunia atas pencapaian inovatif dan kreatif untuk kekal unik dan relevan kepada pelanggan sepanjang tahun lalu.

TNB mula menerima pengiktirafan Brand of the Year bagi kategori 'Energy-Power' pada tahun 2014 dan menerima anugerah yang sama berturut-turut pada 2018, 2019, 2020 dan terbaharu 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata anugerah ini adalah manifestasi usaha berterusan 35,000 warga kerja TNB memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 10.3 juta pelanggan di sebalik cabaran pandemik COVID-19 yang masih

berterusan.

"Kami sentiasa berusaha memberikan pengalaman pengguna yang

bertaraf dunia dengan ketangkasan memperkenalkan perkhidmatan baharu dan komitmen membuat pelaburan ke arah peralihan tenaga selaras dengan aspirasi TNB menjadi pemacu perbekalan solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

"Antara inisiatif utama yang sedang giat kami laksanakan sekarang adalah memperkukuhkan dan memodenkan sistem Grid Nasional menjadi grid pintar untuk perkhidmatan bekalan yang lebih berkualiti dan memasang meter pintar bagi memperkasa pengguna.

"Untuk meter pintar, pemasangannya kini memberi manfaat kepada 1.8 juta pengguna di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka. Projek pemasangan ini akan diperluaskan ke seluruh Semenanjung secara berperingkat," katanya dalam satu kenyataan.

Lebih 345,000 pengguna di seluruh dunia menyertai proses pencalonan World Branding Awards tahun ini.

Daripada lebih 5,300 jenama dari lebih 60 negara yang dicalonkan, hanya 500 jenama diisytiharkan sebagai pemenang.

Secara purata, hanya tujuh jenama pemenang diumumkan untuk setiap negara.

Pemenang ditentukan berdasarkan penilaian jenama (30 peratus), pengundian awam secara dalam talian (30 peratus) dan penyelidikan pasaran pengguna (40 peratus).

Berita Harian X