Khamis, 16 Disember 2021 | 2:18pm
Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC)
Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC)

LaLaport BBCC bakal beroperasi bulan depan

KUALA LUMPUR: Pusat beli belah pertama LaLaport di Asia Tenggara akan dibuka di Malaysia pada bulan depan, demikian menurut syarikat hartanah terkemuka Jepun, Mitsui Fudosan Co Ltd.

Dijangka beroperasi pada 20 Januari 2022, Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) dibangunkan oleh anak syarikat Mitsui Fudason di Malaysia, MFBBCC Retail Mall Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan bersama UDA Holdings Bhd, Eco World Development Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pusat beli-belah gaya hidup dari Jepun itu adalah kemudahan komersial terbesar dengan lebih 82,600 meter persegi ruang lantai dan akan menjadi LaLaport kedua Mitsui Fudosan di luar negara selepas Mitsui Shopping Park LaLaport Shanghai Jinqiao.

Dianggarkan 400 kedai dengan pelbagai penyewa optimum akan dibuka secara berperingkat dengan pembukaan pada Januari 2022 dan dimeriahkan lagi dengan barisan jenama terkenal dari Jepun yang menyaksikan kehadiran julung kali di Malaysia.

Mitsui Fudason dalam satu kenyataan berkata, sebagai tambahan kepada pusat beli-belah itu, pihaknya berkerjasama rapat dengan Bukit Bintang City Center (BBCC) untuk menubuhkan pembangunan bandar berskala besar dengan fungsi yang pelbagai terdiri daripada pusat beli-belah, kediaman, pangsapuri servis, bangunan pejabat dan hotel, dengan jumlah keluasan tapak kira-kira 78,500 meter persegi.

Ia berkata, selepas disiapkan, projek BBCC bakal menjadi satu-satunya mercu tanda yang mengunjurkan gaya hidup Jepun baharu, membolehkan masyarakat tempatan 'mengamalkan gaya hidup, bekerja, bermain dan berkumpul' dengan cara yang lebih mudah.

Katanya, LaLaport BBCC bakal menerajui pembangunan keseluruhan projek itu sebagai hab yang menggalakkan rakyat memahami satu sama lain, menambah baik mutu kehidupan dan menawarkan ketenangan kepada orang ramai.

"Sebagai pusat beli-belah yang menumpukan gaya hidup dari Jepun, LaLaport BBCC mahu pelanggan yakin dengan reka bentuk yang menawarkan pengalaman baharu selain menggabungkan budaya dan trend Malaysia sambil mengekalkan DNA Jepunnya yang tersendiri.

"Melalui pengalaman dengan rangkaian komersial Jepun yang meluas, LaLaport BBCC akan membawakan jenama terkenal dari Jepun seperti Nitori, Nojima dan Jonetz oleh Don Don Donki.

Selain itu, Star Child, sekolah taska yang menggabungkan penjagaan kanak-kanak dan pendidikan intelektual gaya Jepun, akan membuka kemudahan pertamanya di Malaysia (iaitu) di LaLaport," katanya.

Berita Harian X