Selasa, 14 Disember 2021 | 5:39pm
Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan (duduk sebelah kiri) dan Ketua Solutions Bahagian Retail Tenaga Nasional Berhad, Mohamed Azrin Mohamed Ali (duduk sebelah kanan) menandatangani memorandum persefahaman untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik dan bekerjasama dalam inisiatif tenaga mampan, disaksikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby Berhad, Mustamir Mohamad (berdiri sebelah kiri) dan Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan (berdiri sebelah kanan).
Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan (duduk sebelah kiri) dan Ketua Solutions Bahagian Retail Tenaga Nasional Berhad, Mohamed Azrin Mohamed Ali (duduk sebelah kanan) menandatangani memorandum persefahaman untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik dan bekerjasama dalam inisiatif tenaga mampan, disaksikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby Berhad, Mustamir Mohamad (berdiri sebelah kiri) dan Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan (berdiri sebelah kanan).

Sime Darby Motors, TNB teroka inisiatif penggunaan kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR: Sime Darby Motors Malaysia (SDM) menjalin kerjasama startegik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi melaksanakan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon.

Melalui kerjasama itu, SDM Malaysia dan TNB akan meneroka pelbagai inisiatif untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV), yang antara lain termasuk memastikan rangkaian infrastruktur pengecasan EV yang lebih cekap disediakan dalam menyokong pertumbuhan ini.

Kedua pihak juga menyasarkan untuk melihat inisiatif cekap tenaga dan tenaga boleh diperbaharui yang lain bagi mengoptimumkan kos infrastruktur pengecasan EV dan mengurangkan pelepasan karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata kumpulan mempunyai cita-cita EV yang sangat jelas dan pembabitan TNB sangat kritikal dalam memastikan pencapaian matlamat.

"Rakan kongsi seperti TNB memainkan peranan penting dalam membantu kumpulan mencapai sasaran portfolio produk yang lebih cekap tenaga menjelang 2025 dan menjadi peneraju bagi EV di Asia Pasifik.

"Kami berada di 19 pasaran di rantau Asia Pasifik, di mana kesemuanya berada pada tahap berbeza dalam revolusi EV," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffri berkata, sebagai rakan kongsi pilihan untuk beberapa jenama automotif yang paling dikagumi di dunia dan keupayaan merentasi rantaian nilai penuh, Sime Darby kini berada di kedudukan strategik untuk menjadi rakan kongsi pilihan bagi peralihan yang sedang berlaku.

Beliau berkata, tawaran Sime Darby untuk menyokong rancangan EV negara adalah melalui perniagaan terasnya, iaitu Permotoran dan Perindustrian termasuk keupayaan pemasangan bernilai tinggi; spektrum yang luas bagi jenama terkemuka dunia dengan rangkaian EV yang berkembang; tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk perkhidmatan runcit dan selepas jualan EV; dan pembekalan dan penyelenggaraan peralatan pengecasan EV.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata TNB ingin mempercepatkan e-mobiliti didorong cita-cita kumpulan dalam mewujudkan persekitaran EV yang kondusif.

Beliau berkata, ia sekali gus menggalakkan kadar penggunaan EV yang lebih tinggi dalam kalangan orang ramai.

"Sebagai pemacu utama peralihan tenaga negara, inisiatif ini juga membina usaha kami untuk menerajui pembangunan ekosistem yang kondusif bagi penggunaan EV yang lebih luas di Malaysia.

"Selepas lebih tujuh dekad, peranan kami telah berkembang daripada penyedia utiliti nasional ke arah menjadi menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

"Bagi mencapai aspirasi itu, kami telah mengubah TNB menjadi lebih tangkas dan mengutamakan pelanggan, termasuk meningkatkan portfolio solusi tenaga mampan seperti solar dan hidro, audit tenaga, sistem pengurusan tenaga yang cekap dan kini, infrastruktur pengecasan EV," katanya.

Baharin berkata, melalui kerjasama itu, SDM Malaysia dan Sime Darby Bhd secara keseluruhannya boleh bergantung kepada kepakaran kolektif TNB dalam pengurusan tenaga dan solusi tenaga mampan bagi membantu mencapai misi mereka yang sentiasa bersedia dengan keperluan masa depan dalam industri automotif.

Beliau berkata, ini termasuklah memperluaskan kadar penggunaan EV negara dengan TNB menyediakan kepakaran dalam pemasangan infrastruktur pengecasan EV di lokasi strategik di sepanjang laluan perjalanan utama untuk menyokong komuniti EV dengan lebih baik.

Ia katanya akan mengurangkan sebarang kebimbangan dalam kalangan pemilik EV dan membantu merangsang lebih banyak minat terhadap pilihan mobiliti rendah karbon dalam kalangan bakal pemilik EV.

Katanya, TNB juga akan menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai berdaya harap dan stabil kepada ekosistem pengecasan EV berdasarkan kawasan geografi terpilih yang dipersetujui bersama oleh TNB dan SDM Malaysia.

"TNB juga akan menawarkan SDM Malaysia penyelesaian yang boleh mengoptimumkan kos elektrik dan menyokong sumber tenaga hijau dan mampan dalam mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Berita Harian X