Isnin, 13 Disember 2021 | 4:51pm
Dari kiri: Louis The Chin Siang, Ketua Peruncitan CGS-CIMB Securities; Alan Inn Wei Loon, Timbalan Ketua Eksekutif, CGS-CIMB Securities; Ruzi Rani Ajith, Ketua Eksekutif CGS-CIMB Securities; Sabri Rahman, Pengarah Eksekutif Pertama Digital; Saify Akhtar, Pengarah Strategi Pertama Digital.
Dari kiri: Louis The Chin Siang, Ketua Peruncitan CGS-CIMB Securities; Alan Inn Wei Loon, Timbalan Ketua Eksekutif, CGS-CIMB Securities; Ruzi Rani Ajith, Ketua Eksekutif CGS-CIMB Securities; Sabri Rahman, Pengarah Eksekutif Pertama Digital; Saify Akhtar, Pengarah Strategi Pertama Digital.

Pertama Digital, CGS-CIMB bangun khidmat kewangan digital

KUALA LUMPUR: Pertama Digital Bhd (Pertama Digital) menjalin kerjasama strategik dengan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB) untuk membangun perkhidmatan kewangan digital bagi memperkasakan pelabur di Malaysia pasca pandemik.

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar, berkata Pertama Digital dan CGS-CIMB akan menggabungkan kekuatan masing-masing untuk mencipta produk yang boleh dipercayai dengan memanfaatkan teknologi digital.

Beliau berkata, antara perkhidmatan dan produk yang ditinjau adalah seperti penasihat robo dan platform aset digital yang mana akan ditawarkan kepada pelanggan yang lebih meluas.

Katanya, penerokaan kepada digital telah mewujudkan peluang besar untuk platform pelaburan antarabangsa memasuki di Malaysia, termasuk Wahed Invest dari Amerika Syarikat, Stashaway dari Singapura dan Raiz dari Australia.

"Kami meninjau untuk menawarkan produk seperti penasihat robo dan platform aset digital kepada pelanggan yang lebih meluas. Kami jangka produk akan dilancarkan secara besar-besaran tahun depan," katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara Pertama Digital dan CGSCIMB hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pertama Digital, Sabri Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB, Ruzi Rani Ajith.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB, Alan Inn Wei Loon, berkata kerjasama strategik itu membolehkan pihaknya untuk mengembangkan lagi jumlah pelanggannya di seluruh negara, yang mana ketika ini terdapat lebih 200,000 pelabur runcit bersama firma pembrokeran itu.

Beliau berkata, sebagai salah satu penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu terkemuka di Asia, pihaknya berminat untuk meningkatkan akses kepada produk berkaitan pembrokeran saham dan kewangan melalui saluran digital kepada khalayak yang lebih luas di peringkat tempatan dan serantau.

"Penasihat robo, produk berlandaskan Syariah, mata wang kripto dan pembrokeran saham adalah antara prospek yang diintai oleh CGS-CIMB menerusi kerjasama ini," katanya.

Kepakaran Pertama Digital terletak pada keupayaan untuk memacu penerimaan digital oleh orang ramai, seperti yang ditunjukkan dalam penyelesaian pembayaran jaminan digital yang diterima pakai secara meluas, eJamin.

CGS-CIMB ialah usaha sama antara CIMB Group Sdn Bhd dan China Galaxy International Financial Holdings Limited, anak syarikat milik penuh China Galaxy Securities Co. Ltd.

Berita Harian X