Khamis, 2 Disember 2021 | 8:07pm
Alliance Bank Malaysia Bhd
Alliance Bank Malaysia Bhd

Alliance Bank jual perniagaan pembrokeran saham

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd mencadangkan pelupusan perniagaan pembrokeran sahamnya, yang dikuasai oleh unit milik penuh, Alliance Investment Bank Bhd (AIBB) kepada Phillip Futures Sdn Bhd.

AIBB hari ini menandatangani perjanjian bersyarat bagi menjual perniagaan untuk jumlah tunai yang sama dengan nilai aset bersih perniagaan RM205.2 juta sehingga 30 September 2021, ditambah 60 peratus daripada yuran pembrokeran agregat untuk urus niaga pembrokeran yang dimuktamadkan oleh Phillip Futures dalam tempoh 12 bulan dari angka pemindahan spesifik, ditolak sebarang kos transaksi pembrokeran dan sebarang kekurangan yang belum terima.

"Cadangan melupuskan perniagaan pembrokeran saham adalah sebahagian daripada pelan strategik kumpulan untuk mengutamakan semula perniagaannya bagi mempercepatkan pertumbuhan dalam perniagaan perbankan pengguna, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan Islam Alliance Bank," kata bank itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Dalam satu kenyataan berasingan, Alliance Bank berkata ia juga akan memeterai perjanjian perkongsian pembrokeran saham strategik dengan syarikat induk Philip Futures iaitu PhillipCapital Group, yang membolehkan pelanggan bank mendapat akses kepada platform dagangan serantau dan rangkaian luas produk pelaburan global.

Bank itu menjangkakan untuk menyelesaikan langkah korporat itu pada separuh pertama 2022.

"Sebagai sebahagian daripada visi bank yang lebih luas untuk menjadi Bank Pilihan Pemilik Perniagaan, ia akan melabur dalam meningkatkan perniagaan PKS dengan ketara.

"Perniagaan perbankan PKS kami secara konsisten mengatasi pertumbuhan industri sejak lima tahun lalu dan kami menyasarkan untuk menjadi antara empat bank teratas dalam bahagian pasaran PKS di Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich.

-BERNAMA

Berita Harian X