Selasa, 30 November 2021 | 7:42pm
Vial vaksin COVID-19 buatan syarikat biofarmasuetikal, Sinovac yang diedarkan melalui syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Vial vaksin COVID-19 buatan syarikat biofarmasuetikal, Sinovac yang diedarkan melalui syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

Sinovac tumpu tangani varian Omicron - Pharmaniaga

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd telah memberi jaminan bahawa Sinovac Biotech Ltd memantau dengan teliti kemajuan kajian klinikal berkaitan dengan varian baharu COVID-19, Omicron.

Syarikat itu secara aktif mengumpul dan mendapatkan maklumat serta sampel berkaitan dengan varian baharu itu melalui rangkaian rakan kongsi globalnya.

Pharmaniaga ialah pemegang pendaftaran produk eksklusif dan pengedar tunggal vaksin COVID-19 Sinovac di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata saintis vaksin syarikat itu sentiasa berkomunikasi dengan saintis Sinovac mengenai varian Omicron terbaharu itu.

"Kami mengikuti perkembangan terkini dengan Sinovac yang menjalankan penilaian untuk memahami kesan mendalam varian Omicron terhadap vaksin tidak aktif SARS-CoV-2 sedia ada.

"Mereka kerap memberi perkembangan terbaharu kepada kami mengenai penyelidikan yang sedang dijalankan sekarang, ia akan menentukan sama ada perlu untuk membangunkan vaksin baharu terhadap varian Omicron ini," katanya.

Zulkarnain berkata Sinovac mempunyai kepakaran dan keupayaan serta sistem pengeluaran dan kawalan kualiti yang kukuh untuk menghasilkan vaksin yang mencukupi mengikut keperluan.

Beliau berkata syarikat itu sebelum ini telah menjalankan pembangunan vaksin tidak aktif terhadap varian Gamma dan Delta.

"Jika perlu, Sinovac akan dapat mempercepatkan pembangunan itu dengan pantas dan melancarkan pengeluaran besar-besaran vaksin baharu untuk memenuhi permintaan vaksin," katanya.

Pharmaniaga ialah rakan kongsi percubaan klinikal vaksin COVID-19 fasa III global Sinovac untuk kanak-kanak berumur tiga hingga 11 tahun yang sedang dijalankan di Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini telah mengkategorikan varian Omicron sebagai SARS-CoV-2 varian membimbangkan (VOC) dan mengesahkan bahawa varian itu akan merebak dengan lebih cepat berbanding virus COVID-19 yang lain.

– Bernama

Berita Harian X