Selasa, 30 November 2021 | 7:27pm
Gambar fail. - NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
Gambar fail. - NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

CIMB Group catat untung bersih RM3.84 bilion

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) terus mencatatkan prestasi yang baik dengan untung bersih teras meningkat 291.8 peratus kepada RM3.84 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9M21).

Pemulihan dalam prestasi itu didorong oleh pendapatan operasi yang lebih tinggi, langkah membendung kos yang kukuh dan peruntukan yang jauh lebih rendah, dengan penambahbaikan dilihat merentas semua segmen dan pasaran.

Pendapatan operasi teras dalam tempoh dikaji meningkat 11.7 peratus kepada RM13.77 bilion berbanding RM12.32 bilion tempoh sama 2020.

Pendapatan faedah bersih (NII) meningkat sebanyak 12.9 peratus kepada RM10.42 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan marjin faedah bersih (NIM) di Malaysia dan Indonesia.

Pendapatan bukan faedah teras (NOII) mengukuh 8.2 peratus kepada RM3.35 bilion, didorong oleh pendapatan perbendaharaan dan pasaran serta pengurusan kekayaan yang lebih kukuh meskipun momentum yang lebih perlahan pada suku ketiga berakhir 30 September 2021.

Namun begitu, CIMB Group mencatatkan prestasi sukuan yang lemah pada suku ketiga 2021 berbanding suku kedua 2021 berikutan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerugian modifikasi ditanggung untuk program bantuan bayaran balik di bawah pakej bantuan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pada suku ketiga 2021, kumpulan perbankan itu mencatatkan pendapatan operasi teras sebanyak RM4.39 bilion dan keuntungan sebelum cukai teras RM1.64 bilion, lebih rendah berbanding pendapatan operasi teras dan keuntungan sebelum cukai teras suku kedua 2021 dengan masing-masing RM4.62 bilion dan RM1.84 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata prestasi kumpulan perbankan itu kekal berdaya tahan walaupun krisis COVID-19 memuncak pada suku ketiga 2021 dan kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan yang lebih ketat untuk menguruskan wabak, yang menjejaskan aktiviti ekonomi.

Beliau berkata, pihaknya melihat momentum sukuan yang lebih perlahan berikutan kerugian modifikasi berikutan lanjutan bantuan pembayaran balik untuk membantu peminjam yang terjejas di bawah program PEMULIH, dan NOII yang rendah susulan persekitaran perdagangan yang lebih lemah dan aktiviti ekonomi yang terhad.

"Walau bagaimanapun, prestasi 9M21 kami menunjukkan pemulihan kukuh yang berterusan merentasi semua segmen dan pasaran memandangkan kami mencatatkan kemajuan yang baik ke arah mencapai sasaran tahun kewangan 2021 kami," katanya dalam satu kenyataan.

Melangkah ke depan, Abdul Rahman berkata, dengan menghampiri hujung tahun, kumpulan sepatutnya melihat momentum lebih besar selaras dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi serantau, sebahagian besarnya disebabkan oleh kemajuan ketara program vaksinasi negara.

Beliau berkata, fokus pelaburan CIMB Group di bawah pelan strategik, Forward23+ juga berjalan dengan baik, terutamanya dalam membentuk semula portfolio dan inisiatif kos strukturnya.

"Kami terus membuat pelaburan strategik ke dalam perniagaan, terutamanya dalam mengukuhkan keupayaan digital kami bagi memenuhi keperluan pelanggan perbankan hari ini dan esok.

"Seterusnya ialah pelancaran yang dirancang bagi aplikasi perbankan mudah alih kami, Next Gen pada separuh pertama tahun kewangan 2022. Kami juga sedang dalam proses memperkemas dan mempertingkatkan tawaran kami untuk pelanggan Perbankan Pilihan dan Persendirian untuk menyediakan cadangan pengurusan kekayaan holistik, termasuk dalam segmen kekayaan Islam," katanya.

Berita Harian X