Isnin, 29 November 2021 | 2:55pm
Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)
Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

BIMB catat keuntungan RM627.8 juta

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) RM627.8 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, meningkat 19.3 peratus berbanding tempoh sama 2020.

Peningkatan itu sebahagian besar disumbangkan oleh peruntukan bersih lebih rendah bagi pembiayaan dan pendahuluan yang terjejas yang bernilai RM79.6 juta, RM132.7 juta lebih rendah berbanding RM212.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Jumlah aset kumpulan mengukuh sebanyak 9.8 peratus untuk berada pada RM76.3 bilion setakat 30 September 2021, manakala aset bersih sesaham berada pada kedudukan RM3.13.

Pembiayaan kasar meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada RM56.9 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM64.4 bilion.

Jumlah komposisi akaun semasa dan simpanan serta akaun pelaburan transaksi (CASATIA) berada pada aras sihat 39.0 peratus daripada jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan.

Setakat 30 September lalu, pembiayaan terjejas kasar direkodkan 0.68 peratus berbanding 0.60 peratus pada akhir September 2020, sementara jumlah nisbah modal kumpulan kekal kukuh pada 19.9 peratus setakat 30 September 2021.

Bagi tempoh sembilan bulan 2021, Lembaga Pengarah BIMB mengisytiharkan dividen interim satu peringkat berjumlah RM226.9 juta atau 10.93 sen setiap saham biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed, berkata pandemik COVID-19 dan cabarannya terus memberi impak kepada semua sektor ekonomi, namun risiko terhadap kestabilan kewangan masih terkawal.

Beliau berkata, bank menyediakan unjuran peruntukan yang berpatutan pada tahun kewangan 2020 dan risiko kredit ditetapkan secukupnya oleh pasaran.

"Penganalisis juga mengekalkan sasaran pertumbuhan pembiayaan industri bagi tahun ini sebanyak tiga hingga empat peratus setakat ini memandangkan jangkaan pemulihan dilihat positif terhadap permintaan pembiayaan bagi suku keempat 2021.

"Walaupun kadar purata pembiayaan susut tiga mata asas, margin keuntungan bersih dijangka menerima sedikit tekanan, dipengaruhi oleh persaingan sengit deposit dan ruang terhad perluasan CASA," katanya.

Menuju ke hadapan, Mohd Muazzam berkata, 2022 akan menjadi tahun yang penting buat Malaysia, bukan saja daripada perspektif pemulihan ekonomi tetapi juga kebangkitan semula industri, kehidupan dan pekerjaan, khasnya mereka yang paling terkesan disebabkan pandemik.

Beliau berkata, sebagai bank yang mendahulukan kemakmuran untuk semua dengan menyediakan penyelesaian yang memberikan nilai kepada pemegang taruh, BIMB kini sedang melaksanakan pelan perniagaan strategik lima tahun (LEAP25).

"Misi kami adalah untuk merancang masa depan kumpulan dalam menjadi peneraju penyelesaian pembiayaan lengkap Syariah-ESG dengan kepimpinan dalam perbankan dan kewangan sosial," katanya.

Berita Harian X