Isnin, 29 November 2021 | 2:35pm
Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG)
Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG)

Keuntungan bersih HLFG meningkat

KUALA LUMPUR: Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) mencatatkan keuntungan bersih RM641 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2021, meningkat 9.1 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Peningkatan kukuh itu berikutan sumbangan positif daripada bahagian perbankan komersialnya, Hong Leong Bank Bhd (HLB) dan bahagian insurans, HLA Holdings Sdn Bhd (HLAH), sementara bahagian perbankan pelaburan, Hong Leong Capital Bhd (HLCB) mencatatkan sumbangan rendah berikutan kekurangan aktiviti pasaran saham.

Pendapatan bersih daripada perbankan Islam dan perniagaan takaful bagi suku dikaji berjumlah RM230 juta, rendah sedikit sebanyak 2.9 peratus.

Perniagaan berlandaskan Syariah menyumbang 8.1 peratus kepada jumlah keuntungan sebelum cukai HLFG Group.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HLFG, Tan Kong Khoon, berkata kumpulan perbankan itu terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan merentasi perniagaan operasinya pada suku pertama tahun kewangan 2022 meskipun berdepan cabaran persekitaran perniagaan yang terkesan peningkatan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan semula langkah kawalan pergerakan.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan ekonomi Malaysia akan pulih semula secara progresif disokong oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi, kadar vaksinasi tinggi dan pendirian dasar akomodatif di tengah-tengah peningkatan tekanan inflasi daripada isu rantaian bekalan global dan harga komoditi tinggi.

"Kami akan kekal berhemat dalam menguruskan risiko perniagaan utama kami dan berwaspada terhadap risiko sebarang peningkatan semula kes COVID-19.

"Kami menjangkakan kumpulan akan kekal berdaya tahan dan memanfaatkan kekuatan kami dari segi kecairan, modal dan disiplin kredit sambil mengekalkan tumpuan kukuh kami terhadap pengurusan risiko," katanya dalam satu kenyataan.

Pada suku dikaji, perbankan komersil HLFG, HLB mencatatkan untung bersih RM858 juta, meningkat 17.7 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya, disokong pertumbuhan pendapatan, kawalan kos berhemat, elaun rosot nilai pinjaman yang lebih rendah dan sumbangan yang kukuh daripada syarikat bersekutu.

Segmen insuransnya pula, HLAH mencatatkan keuntungan sebanyak RM91 juta berbanding RM100 juta, sementara segmen perbankan pelaburan, HLCB mencatatkan keuntungan sebanyak RM29 juta, 36.7 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Mengenai perjalanan kelestarian, HLFG meningkatkan tumpuan dalam pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan isu berkaitan di bawah pendekatan meluas kumpulan.

Kumpulan perbankan itu akan terus memastikan syarikat operasi mengukuhkan amalan perniagaan mampan dan menyepadukan prinsip ESG ke dalam amalan pinjaman, rangka kerja pelaburan dan perkhidmatan kewangan mereka.

Berita Harian X