Isnin, 29 November 2021 | 1:50pm
Kumpulan Public Bank - Foto fail NSTP
Kumpulan Public Bank - Foto fail NSTP

Untung sembilan bulan Public Bank RM4.28 bilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan bersih RM4.28 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada September 2021, berbanding RM3.77 bilion yang diraih bagi tempoh sama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan itu disokong terutama oleh pemberian pinjaman dan pengambilan deposit yang menjadi perniagaan terasnya.

Meskipun meraih keuntungan bersih lebih baik, pendapatan kumpulan perbankan itu bagaimanapun merosot kepada RM14.77 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2021, berbanding RM15.4 bilion yang diraih tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengasas Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata kumpulan mengambil pelbagai usaha yang proaktif dalam strategi perniagaan dan memberi lebih penekanan terhadap pengurusan risiko dan produktiviti.

"Usaha ini membolehkan Public Bank untuk terus menunjukkan keteguhan dalam prestasinya dengan mencatatkan pulangan ekuiti bersih sebanyak 12.4 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 31.7 peratus dalam sembilan bulan berakhir pada bulan September 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir September 2021, Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5.56 bilion meskipun berdepan dengan keadaan ekonomi semasa 2021 yang terus mencabar berikutan pandemik COVID-19 yang berterusan.

Pelaksanaan semula langkah pengekangan yang ketat pada suku ketiga 2021 terus memperlahankan pertumbuhan ekonomi.

Bagi suku ketiga tahun 2021, untung bersihnya merosot sebanyak 1.7 peratus kepada RM1.36 bilion berbanding dengan RM1.38 bilion pada suku kedua 2021.

Pada akhir September 2021, jumlah pemberian pinjaman oleh Public Bank meningkat tiga peratus kepada RM353.5 bilion, dengan pinjaman domestik berkembang sebanyak 2.8 peratus kepada RM330.5 bilion.

Jumlah deposit pelanggan kumpulan berkembang 4.8 peratus kepada RM378.9 bilion, disokong terutama oleh deposit semasa dan simpanan berkos rendah yang berkembang pada kadar tahunan sebanyak 12.2 peratus.

Mengulas mengenainya, Hong Piow berkata, kumpulan berupaya untuk mencapai pertumbuhan pinjaman dan deposit yang berterusan, meskipun pada kadar sederhana.

"Pada akhir September 2021, kedudukan pendanaan kumpulan kekal stabil dengan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kasar sebanyak 79.7 peratus," katanya.

Sementara itu, pendapatan bukan faedah mencatatkan penurunan sebanyak 2.9 peratus dalam tempoh sembilan bulan 2021, terutama disebabkan oleh penurunan dalam pendapatan pelaburan.

Bagaimanapun, perniagaan unit amanah kumpulan, berserta fi dan komisen dan pendapatan pertukaran asing terus menjana pertumbuhan pendapatan bukan faedah yang positif.

Perniagaan unit amanah Public Bank, yang diuruskan oleh anak syarikat milik penuh, Public Mutual, mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 25.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020.

Pada akhir bulan September 2021, Public Mutual menguruskan sejumlah 170 dana unit amanah dengan aset di bawah pengurusan berjumlah RM102.7 bilion dan terus menguasai bahagian pasaran runcit yang besar sebanyak 32.9 peratus.

Menuju ke hadapan, Hong Piow berkata, dengan cabaran yang semakin meningkat berikutan pandemik, Public Bank sentiasa berwaspada dan terus menguruskan kos dengan cekap.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia dijangka berada pada landasan pemulihan secara berperingkat walaupun perintah kawalan pergerakan dilonggarkan, bermula dengan kebenaran untuk merentas negeri dan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial selepas lebih daripada 95 peratus populasi dewasa menerima vaksin.

Berita Harian X