Jumaat, 8 Oktober 2021 | 2:20pm
Bank Simpanan Nasional (BSN)
Bank Simpanan Nasional (BSN)

Terbitan sukuk BSN dapat sambutan pelabur

KUALA LUMPUR: Terbitan sulung Sukuk Wakalah Bank Simpanan Nasional (BSN) mendapat sambutan luar biasa daripada pelabur apabila terlebih langganan sebanyak 3.48 kali.

Ia membabitkan transaksi bernilai RM750 juta, lebih tinggi berbanding saiz awalnya iaitu RM500 juta, demikian menurut BSN dalam satu kenyataan.

Program Sukuk Wakalah BSN ditubuhkan baru-baru ini membabitkan nilai nominal sehingga RM3.5 bilion.

"Ia terlebih langganan sebanyak 3.48 kali dengan tempahan akhir mencatatkan RM2.61 bilion daripada lebih 30 akaun merangkumi pengurus dana, institusi kewangan dan agensi kerajaan.

"Berikutan kejayaan strategi penetapan harga dan permintaan kukuh yang diterima ketika aktiviti penetapan harga, Sukuk Wakalah tiga tahun, lima tahun dan tujuh tahun akhirnya ditetapkan pada paras 2.93 peratus, 3.47 peratus dan 3.89 peratus," katanya.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata kejayaan pelancaran Sukuk Wakalah itu menandakan satu lagi kejayaan penting bagi BSN berikutan ia adalah terbitan sulung bank dalam pasaran modal.

Beliau berkata, pihaknya juga gembira dengan sambutan pelabur terhadap tawaran sulungnya itu dan hasil urus niaga.

"Permintaan luar biasa yang diterima daripada pelabur adalah bukti keyakinan pasaran terhadap BSN dan kelangsungan perniagaan kami, dengan mandat khas sebagai bank simpanan nasional dan kenderaan strategik kerajaan untuk melaksanakan agenda kerajaan," katanya.

Program Sukuk Wakalah diberi penarafan akhir AAA oleh RAM Rating Services Bhd.

Hasil dari terbitan sukuk itu akan digunakan untuk aktiviti pembiayaan patuh Syariah BSN yang terdiri daripada pembiayaan semula/ pembiayaan masa depan sedia ada; modal kerja dan tujuan korporat lain, yang semuanya patuh Syariah.

Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama dan pengatur utama untuk Program Sukuk Wakalah, sementara pengurus utama bersama adalah Affin Hwang Investment Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd.

Berita Harian X