Rabu, 18 Ogos 2021 | 8:51pm
Vaksin keluaran Moderna Inc - Foto Bloomberg
Vaksin keluaran Moderna Inc - Foto Bloomberg

Moderna jangka dos penggalak jadi rutin tahunan

NEW YORK: Ketika kerajaan seluruh dunia berdebat untuk meluluskan dos penggalak vaksin COVID-19, pengasas bersama Moderna Inc, Noubar Afeyan menjangkakan suntikan itu akan menjadi rutin.

"Pegawai kesihatan awam akan menentukan sama ada semua orang perlu mendapatkan suntikan penggalak," katanya dalam satu temunbual di 'The David Rubenstein Show: Peer-to-Peer Conversations' yang disiarkan di Bloomberg TV pada Rabu.

"Tekaan saya adalah jika diberikan masa mencukupi, kita akan berdepan situasi di mana, katakan pada minimumnya, vaksinasi tahunan, sama seperti selesema," kata Afeyan, yang turut berkhidmat sebagai pengerusi.

Afeyan berkata, Moderna berharap kelulusan penuh Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa bulan lagi untuk vaksin COVID-19 syarikat itu, yang kini diluluskan bagi kegunaan kecemasan.

Syarikat sedang menguji setengah dos penggalak yang dilihat 'amat berkesan', katanya.

Pemimpin dunia mendesak akses kepada vaksin sebelum diluluskan, kata Afeyan.

"Saya menerima panggilan yang tidak pernah difikirkan sebelum ini daripada beberapa pemimpin negara," katanya.

"Tiada siapa boleh berbuat apa-apa. Secara sahnya, seluruh bekalan vaksin dipegang oleh kerajaan AS."

Flagship Pioneering yang dimiliki oleh Afeyan melabur dalam beberapa teknologi yang dikatakannya boleh membantu dunia bersedia untuk pandemik berikutnya.

"Kami memiliki pendekatan menggunakan mesin pembelajaran, sistem AI, sistem kepintaran buatan, iaitu pemodelan ke mana virus boleh pergi, berdasarkan di mana ia sudah pun berada, selain menjangkakan varian yang akan muncul," katanya.

"Salah satu hasil daripada pandemik ini adalah keupayaan yang tidak kita miliki sebelum ini, namun kini kita ketahui amat diperlukan."

-Bloomberg

Berita Harian X