Khamis, 29 Julai 2021 | 9:51am
Datuk Seri Shahril Mokhtar
Datuk Seri Shahril Mokhtar

Shahril Mokhtar ketuai cabang transit Kumpulan Petra

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mass Rapid Transit (MRT) Corporation, Datuk Seri Shahril Mokhtar, dilantik sebagai Ketua Eksekutif PETRA Transit Systems (PTS) berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Menurut Shahril, PTS memiliki pengalaman, teknologi dan pengetahuan untuk menjadi pemain global dalam perniagaan rel.

"Berdasarkan persefahaman bersama, nilai yang dapat saya bawa dan visi Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan PETRA Datuk Dr Vinod Sekhar, saya melihat banyak sinergi dengan kumpulan.

"Terdapat banyak peluang, bukan hanya di Malaysia, tetapi juga rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahril memulakan kerjayanya di PricewaterhouseCoopers pada tahun 1999 dan menjalankan perniagaannya di beberapa organisasi sebelum dinobatkan sebagai Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tahun 2010, yang kini dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit (MRT) Corporation.

PETRA Transit Systems, cabang transit bandar di bawah Kumpulan PETRA menyediakan penyelesaian mobiliti bandar.

Sistem monorelnya menawarkan penyelesaian yang ekonomikal dan mampan, dengan memberi tumpuan kepada bandar-bandar yang mengalami cabaran dalam perjalanan.

PTS juga mengambilalih harta intelektual (IP) dari pelikuidasi Scomi Rail pada November 2020.

Berita Harian X