Rabu, 7 Julai 2021 | 6:59pm
Moratorium dan pelan RA Maybank merangkumi semua pinjaman atau pembiayaan - Foto hiasan
Moratorium dan pelan RA Maybank merangkumi semua pinjaman atau pembiayaan - Foto hiasan

Tawaran moratorium Maybank bermula hari ini

KUALA LUMPUR: Maybank menawarkan bantuan kewangan meliputi moratorium, bantuan pembayaran balik (RA) dan kemudahan sokongan kewangan kad kredit bermula hari ini.

Maybank dalam satu kenyataan, berkata bagi moratorium, institusi perbankan itu menawarkan penangguhan bayaran selama enam bulan, manakala bagi RA pinjaman/pembiayaan pula merangkumi pengurangan ansuran 50 peratus untuk tempoh setengah tahun.

Bagi kad kredit pula (tidak termasuk caj kad), bank itu akan menawarkan kemudahan menukar baki hutang kepada pinjaman berjangka tiga tahun dengan kadar faedah dikurangkan sehingga peminjam dapat menguruskan kewajipan kewangan lebih baik ketika tempoh mencabar ini.

Moratorium/pelan RA Maybank merangkumi semua pinjaman/ pembiayaan (tidak termasuk kad kredit) dan boleh dimohon oleh semua individu (termasuk semua peminjam/pelanggan B40, M40 dan T20); semua syarikat mikro; serta semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat COVID-19.

"Pelanggan boleh memohon moratorium dan RA menerusi laman Maybank2u Covid-19 di www.maybank2u.com.my/covid19.

"Pelanggan boleh mengklik pada butan 'kirim e-mel' (bagi pelanggan individu/PKS) dan melengkapkan maklumat yang diperlukan sebelum mengirim e-mel terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Maybank berkata, pelan moratorium dan RA tertakluk untuk pinjaman/pembiayaan sebelum atau pada 30 Jun 2021 dan tiada tunggakan lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan diserahkan kepada bank.

"Persetujuan akan diberikan secara automatik kepada semua pelanggan yang layak dan Maybank akan memastikan proses permohonan mudah tanpa dokumen sokongan bagi tujuan kelulusan.

"Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam yang memilih moratorium/RA tidak akan terjejas dan tidak perlu bimbang kesannya kepada profil kredit mereka.

"Pelanggan dinasihati untuk berhati-hati dengan sebarang penipuan dan hanya memilih moratorium/RA menerusi saluran rasmi bank," katanya.

Maybank turut mengulangi, pelanggan tidak perlu berurusan dengan pihak ketiga yang mengaku sebagai ejen atau wakil bank membabitkan moratorium/RA kerana Maybak tidak melantik atau membabitkan pihak ketiga atau ejen untuk urusan berkenaan.

"Selain saluran yang dinyatakan, pelanggan yang perlu berbincang dengan pegawai cawangan/pengurus perhubungan boleh mengunjungi cawangan terdekat, Pusat PKS atau Auto Finance Centre (yang mana relevan).

"Namun, kami ingin mengingatkan pelanggan bahawa operasi cawangan adalah berdasarkan janji temu, manakala beberapa cawangan mungkin ditutup," katanya.

Pelanggan yang ingin membuat janji temu boleh melakukannya secara dalam talian menerusi Maybank EzyQ di aplikasi MAE dan laman web Maybank2u di www.maybank2u.com.my/ezyq, 15 hari lebih awal dari tarikh yang diinginkan.

Pelanggan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai moratorium/RA Maybank selaras dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), boleh melayari www.maybank2u.com.my/covid19 atau menghubungi Talian Hotline Penjagaan Pelanggan Maybank: 1-300-88-6688 (Malaysia) atau 03 -78443696 (luar negeri) dan tekan *1 untuk 'Bantuan Pembayaran Balik'.

Berita Harian X