Isnin, 10 Mei 2021 | 3:29pm
MFP Solar Sdn Bhd - Foto OCBC Bank
MFP Solar Sdn Bhd - Foto OCBC Bank

OCBC, MARC muktamad penilaian pinjaman hijau RM100 juta

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) pada Isnin mengumumkan pemuktamadan penilaian luar bagi kemudahan pinjaman berjangka hijau berjumlah RM100 juta untuk MFP Solar Sdn Bhd (MFP Solar).

Kemudahan ditawarkan oleh OCBC Bank itu akan digunakan oleh MFP Solar untuk membiayai pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) atas bumbung mengikut struktur kemudahan pembiayaan induk tunggal.

MARC melaksanakan Penilaian Pinjaman Hijau bagi kemudahan tersebut dan memberikan penarafan 'emas', menurut kenyataan bersama OCBC Bank dan MARC pada Isnin.

Pengarah Urusan, Pegawai Kanan Liputan Pelanggan dan Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Bank, Tan Ai Chin berkata, transaksi itu adalah satu lagi pencapaian bagi pembangunan pasaran pembiayaan lestari domestik.

"Sebagai bank yang komited sepenuhnya untuk menyokong pembangunan lestari, kami memainkan peranan aktif untuk membantu perniagaan yang meneraju penggalakan teknologi tereka bentuk ke arah mengurangkan risiko berkaitan perubahan iklim," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, pihaknya mengambil satu lagi langkah untuk menentusahkan struktur pinjaman hijau dengan mendapatkan penilaian MARC.

"Kami gembira kerana telah mencapai piawaian 'emas' tertinggi, sebagai bukti keupayaan penstrukturan kukuh kami dalam pembiayaan lestari," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARC, Datuk Jamaludin Nasir berkata penarafan 'emas' adalah penilaian tertinggi pada skala MARC bagi instrumen pembiayaan hijau.

"Dalam memberikan penarafan 'emas' kami mempertimbangkan kesan alam sekitar positif daripada projek solar atas bumbung yang akan dibiayai, pematuhan Prinsip Pinjaman Hijau termasuk penggunaan penilaian luar bagi pinjaman hijau serta prospek prestasi kelestarian MFP Solar.

"MARC mempertimbangkan penggunaan pembiayaan itu akan memberi kesan bermakna memandangkan projek yang layak tersebut akan menyokong matlamat pengurangan perubahan iklim negara, selain penerimagunaan tenaga bersih dan sistem bekalan tenaga lestari oleh sektor korporat," katanya.

MFP Solar adalah anak syarikat 55 peratus milik Mega First Corporation Bhd, manakala baki kepentingan 45 peratus lagi dipegang oleh Pekat Teknologi Sdn Bhd.

Sebagai syarikat solar tulen dan Pelabur Solar PV berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), model perniagaan MFP Solar membabitkan tender dan memperoleh projek solar PV atas bumbung berlandaskan model perniagaan Perjanjian Pembelian Tenaga Solar.

-BERNAMA

Berita Harian X