Rabu, 5 Mei 2021 | 3:46pm
Rangkaian produk keluaran Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB)
Rangkaian produk keluaran Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB)

F&NHB pastikan harga produk kekal berpatutan

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) akan terus memastikan harga produknya akan sentiasa kekal berpatutan walaupun berhadapan dengan peningkatan harga bahan mentah komoditi.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe, berkata harga bahan mentah komoditi mula melonjak sejak April tahun lalu dan ia dijangka akan terus meningkat tahun ini.

Beliau berkata, peningkatan itu secara dasarnya akan mempengaruhi harga jualan produknya namun kumpulan akan terus berusaha mengawal kenaikan harga itu.

"Harga komoditi menunjukkan peningkatan ketara dan ia akan kekal naik tahun ini. Walaupun begitu, kumpulan sentiasa mengawal dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan peningkatan ini tidak mempengaruhi harga jualan.

"F&NHB akan berusaha dan memastikan peningkatan harga jualan produk adalah langkah terakhir yang perlu dilaksanakan. Ketika ini kami masih dapat mengawalnya.

"Namun jika ia terus melonjak, saya tidak menolak kemungkinan kumpulan perlu menaikkan harga produk," katanya selepas taklimat prestasi kewangan separuh pertama F&NHB secara maya, hari ini.

Yew Hoe berkata, jika berlaku, kumpulan perlu melihat kepada kuantum produk berdasarkan kategori dan menyemak produk yang terjejas akibat peningkatan harga komoditi itu.

Beliau berkata, antara produk komoditi yang menunjukkan peningkatan adalah susu skim tepung, resin, aluminium, minyak sawit mentah, gula, soya dan timah.

Mengulas lanjut, Yew Hoe berkata, kumpulan juga terus mengambil langkah berhati-hati dan memantau ketidakpastian yang wujud di peringkat tempatan dan global kerana keadaan pandemik masih belum stabil.

Katanya, F&NHB akan membangunkan rangkaian portfolio jenama yang pelbagai dan meluaskan kedudukan geografi, sambil menyesuaikan dan memperhalusi strategi untuk mengambil kira sekatan yang dikenakan akibat pandemik ini.

"Berikutan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia, usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan kakitangan adalah penting sambil memastikan bekalan dan capaian berterusan kepada produk kami di pasaran.

"Pada masa yang sama, kumpulan memantau dengan teliti peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini di Thailand untuk

memastikan langkah pengawalan yang sesuai dan tepat pada masanya.

"Keupayaan kami untuk menghadapi cabaran dan menangani segala ketidakpastian terbukti berkesan kerana melaksanakan inisiatif untuk membina masa depan lebih kukuh bagi kumpulan.

"Kami yakin bahawa strategi jangka panjang kami mampu mengurangkan risiko persekitaran semasa sambil memastikan kami bersedia memacu pertumbuhan masa depan," katanya.

F&NHB merekodkan prestasi suku kedua 2021 lebih mantap, dipacu oleh jualan tempatan dan eksport walaupun menghadapi sekatan berkaitan COVID-19.

Pendapatan kumpulan bagi suku dikaji naik 8.6 peratus kepada RM1.09 bilion dengan keuntungan selepas cukai naik kepada RM103.5 juta berbanding RM102.2 juta yang dilaporkan tahun lalu.

Yew Hoe berkata, jualan lebih tinggi, campuran produk menguntungkan, kawalan teliti terhadap perbelanjaan pengiklanan dan promosi serta sumbangan pertama daripada Sri Nona Companies mengurangkan tekanan akibat harga komoditi lebih tinggi dan margin eksport lebih rendah disebabkan kenaikan kos fret.

Berita Harian X