Isnin, 19 April 2021 | 9:27pm
Boustead Holdings Bhd
Boustead Holdings Bhd

Boustead jual tanah kepada Sunway Property

KUALA LUMPUR: Mutiara Rini Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung milik penuh Boustead Holdings Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Sunway Rahman Putra Sdn Bhd untuk cadangan pelupusan tanah pegangan bebas seluas 2.67 hektar di Jalan Cochrane pada harga RM233.39 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, cadangan pelupusan dilakukan berdasarkan penjual dan pembeli rela-merelai dengan mempertimbangkan nilai pasaran tanah itu yang berharga RM220 juta atau RM766.50 kaki persegi .

Pelupusan yang dicadangkan ini memberi peluang kepada Boustead untuk membuka dan merealisasikan pelaburannya dengan harga yang berpatutan kerana lokasi tanah, potensi, aksesnya yang mudah, kemudahan dan infrastruktur yang tersedia.

"Selepas cadangan pelupusan itu selesai, kumpulan dijangka dapat memperoleh keuntungan yang dianggarkan apabila ia dilupuskan sekitar RM54.1 juta, ia membolehkan kumpulan itu memperkukuhkan kecairan dan kedudukan aliran tunai dengan meningkatkan jumlah hasil tunai bersih sekitar RM213.8 juta.

"Sebahagian daripada hasil pelupusan itu berjumlah RM101 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman bank, ia akan menghasilkan penjimatan faedah sebanyak RM4.5 juta setahun dan diunjurkan dapat menurunkan tahap kadar Boustead," katanya.

Sementara itu, Sunway Property dalam satu kenyataan yang berasingan berkata pembelian tanah itu adalah untuk cadangan pembangunan bercampur yang terdiri daripada pangsapuri servis dan kedai runcit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.15 bilion.

"Pembangunan ini merangkumi Sunway Velocity Mall, pusat membeli-belah seluas satu juta kaki persegi, Sunway Velocity Hotel, sebuah hotel dengan 350 bilik, Sunway Medical Center Velocity, sebuah pusat perubatan yang menyediakan sebanyak 240 katil, Sunway College @ Velocity, dua menara pejabat dengan keluasan 375,000 kaki persegi dan unit kediaman," katanya.

Menurut pemaju hartanah itu, pembelian itu akan memperkukuhkan kehadiran syarikat di kawasan berkenaan kerana tapak tersebut terletak berdekatan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Cochrane dan juga berdekatan dengan stesen Tun Razak Exchange (TRX).

Sunway Property berkata perjanjian itu adalah pembelian simpanan tanah kedua syarikat itu untuk tahun ini, ia mencerminkan keyakinannya terhadap pemulihan pasaran hartanah pada tahun-tahun mendatang.

"Jumlah simpanan tanah Sunway ketika ini berjumlah 1,351,25 hektar dengan nilai pembangunan kasar berpotensi RM52.1 bilion bagi tempoh keseluruhan pembangunan lebih daripada 15 tahun," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X