Khamis, 1 April 2021 | 4:48pm
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy

BSN pelawa usahawan mohon skim mikro kredit PEMERKASA

KUALA LUMPUR: Usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19 boleh membuat permohonan pembiayaan segera melalui Skim Mikro Kredit Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) diuruskan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang disediakan bermula 1 April 2021.

BSN, bank penyelaras yang mengendalikan dana sebanyak RM300 juta melalui skim itu berkata, ia menyediakan bantuan kewangan sehingga RM50,000 dengan kadar keuntungan sebanyak tiga peratus dan tempoh pembiayaan antara satu hingga lima setengah tahun.

Pembayaran ansuran bulanan hanya akan bermula selepas bulan keenam.

Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia menawarkan lima pilihan skim pembiayaan Islamik dan juga konvensional.

Bagi mereka yang memerlukan dana untuk modal kerja atau perbelanjaan modal, BSN menawarkan BSN Micro/i PEMERKASA bagi perusahaan mikro yang mempunyai syarikat milikan tunggal, perkongsian atau syarikat Sdn Bhd; BSN Micro/i PEMERKASA-NITA bagi usahawan wanita; dan BSN Micro/i PEMERKASA MUDA bagi usahawan muda berusia 30 tahun dan ke bawah; dan BSN Micro/i PEMERKASA ISTIMEWA bagi usahawan orang kelainan upaya (OKU).

Pilihan terakhir ialah BSN Micro/i PEMERKASA MAMPAN bagi perusahaan mikro yang mempunyai syarikat milikan tunggal, perkongsian atau syarikat sendirian berhad yang memerlukan dana bagi menampung kos tetap operasi perniagaan sehingga enam bulan termasuk gaji pekerja, bil utiliti dan sewaan.

Jenis sektor perniagaan yang layak untuk memohon adalah dalam peruncitan dan pemborongan, pembuatan dan perkhidmatan.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy, berkata bank itu terus memperkukuhkan lagi usaha untuk membantu pelanggan bersasar yang terdiri daripada kumpulan pendapatan B40, M40 dan pelanggan perusahaan mikro.

"Kami sedia maklum bahawa pelanggan terutama perusahaan mikro masih memerlukan bantuan dan kami akan membantu menyalurkan dana yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan pelanggan yang terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X