Khamis, 11 March 2021 | 10:42am
Kemudahan milik Dutch Lady Milk Industries Bhd di Petaling Jaya
Kemudahan milik Dutch Lady Milk Industries Bhd di Petaling Jaya

UEM Sunrise beli tanah milik Dutch Lady

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd merancang untuk melancarkan projek pembangunan komersial bercampur dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.3 bilion.

Berikutan itu, UEM Land Bhd yang juga anak syarikat milik penuh UEM Sunrise, telah membeli tiga bidang tanah perdana di Petaling Jaya, Selangor yang membabitkan jumlah pertimbangan sebanyak RM200 juta.

Menurut UEM Sunrise menerusi kenyataannya, tiga bidang tanah yang berkeluasan 9.93 ekar (4.02 hektar) itu terletak di Jalan Professor Khoo Kay Kim, Seksyen 13, yang sebelum ini dimiliki oleh Dutch Lady Milk Industries Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah juga menyifatkan projek itu selaras dengan usaha berterusan syarikat bagi menyeimbangkan semula portfolionya selain mempertingkat kedudukan di Lembah Klang.

"Kami memang merancang untuk memacu pertumbuhan dengan mempergiat tumpuan ke atas tanah-tanah utama serta strategik yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan pemulihan segera," katanya.

Pembelian tanah itu juga adalah projek pertama UEM Sunrise di bandar raya Petaling Jaya selain dapat memperkukuh portfolio syarikat itu di kawasan perdana.

Ini menyusuli kejayaannya di kawasan Mont Kiara, Kuala Lumpur dan Iskandar Puteri, Johor selain pembangunan dengan kegunaan bercampur-campur, Kiara Bay yang terletak di Kepong Metropolitan Park di Kuala Lumpur.

Tahun lalu, syarikat itu telah membeli sebuah kawasan seluas 11.45 ekar (4.63 hektar) di Taman Pertama, Cheras, Kuala Lumpur yang disasarkan bagi pembangunan bercampur serta bertingkat yang merangkumi kira-kira 2,400 unit pangsapuri.

GDV projek itu mencecah kira-kira RM1.1 bilion dan dijangka dapat dilancarkan menjelang akhir tahun ini.

UEM Sunrise juga dalam proses meninjau pengambilalihan strategik yang dapat menjana jualan kukuh bagi syarikat untuk lima tahun akan datang selain melaksanakan langkah penting agar terus maju apabila ekonomi kembali pulih.

Jumlah tanah simpanan syarikat itu adalah seluas 11,092.8 ekar (4,489 hektar) setakat ini dengan GDV mencecah RM107.9 bilion.

-BERNAMA

Berita Harian X