Isnin, 1 March 2021 | 6:18pm
Bank Rakyat menetapkan sasaran kelulusan pembiayaan sebanyak RM1 bilion kepada PKS dan RM75 juta kepada usahawan mikro tahun ini - Foto arkib NSTP
Bank Rakyat menetapkan sasaran kelulusan pembiayaan sebanyak RM1 bilion kepada PKS dan RM75 juta kepada usahawan mikro tahun ini - Foto arkib NSTP

Bank Rakyat sasar lulus RM1 bilion pinjaman PKS

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menyasar untuk meluluskan pembiayaan RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM75 juta kepada usahawan mikro tahun ini.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi pelbagai inisiatif termasuk pembukaan Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SMEC).

"SMEC adalah antara inisiatif memperkasakan sektor pembangunan keusahawanan negara.

"Pembukaan SMEC ini juga mampu mendorong dalam mencapai sasaran kelulusan pembiayaan sebanyak RM1 bilion kepada PKS dan RM75 juta kepada usahawan mikro tahun ini," katanya.

SMEC adalah pusat sehenti yang menyediakan khidmat nasihat dan pembiayaan holistik kepada usahawan daripada kategori usahawan mikro, PKS serta koperasi.

SMEC yang beroperasi secara fokus untuk pembangunan usahawan, membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat nasihat dari segi pengurusan pembiayaan, perniagaan serta perancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu berurusan di cawangan Bank Rakyat.

Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) iaitu meningkatkan aset kewangan perniagaan Bank Rakyat menerusi pusat perniagaan khusus yang menawarkan kemudahan kewangan perniagaan untuk golongan usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata inisiatif itu turut sejajar dengan manifestasi agenda MEDAC seperti yang dinyatakan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

"Juga seiring dengan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF), penubuhan SMEC adalah bertepatan dengan saranan kerajaan kepada institusi perbankan agar terus menyokong pemulihan ekonomi dan memelihara kesejahteraan sumber pendapatan rakyat Malaysia," katanya.

Wan Junaidi berkata, menyedari golongan usahawan antara yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 melanda negara, penubuhan SMEC juga dilihat antara usaha membantu mereka untuk memulihkan semula perniagaan.

"SMEC juga bakal memberi peluang kepada usahawan mikro untuk memajukan perniagaan dalam industri PKS, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya usahawan B40," katanya.

SMEC yang berkonsepkan pusat fizikal adalah sebuah premis yang ditempatkan di beberapa lokasi seluruh negara sebagai platform penyebaran maklumat kepada usahawan di setiap kawasan.

Sehingga kini, tiga SMEC di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka mula beroperasi untuk memperluaskan capaian kepada PKS, mikro dan koperasi di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, tujuh SMEC bakal dibuka tidak lama lagi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Selain mengunjungi SMEC secara fizikal, pelanggan boleh mendapatkan khidmat SMEC secara maya dengan hanya mengimbas kod QR2E (quick response to entrepreneur) .

QR2E adalah platform dalam talian yang diperkenalkan khusus untuk segmen usahawan mikro, PKS serta koperasi melakukan urusan perbankan secara digital.

Berita Harian X