Jumaat, 19 Februari 2021 | 6:29pm
Loji jana kuasa Southern Power Generation.
Loji jana kuasa Southern Power Generation.

Loji Southern Power Generation mula beroperasi

KUALA LUMPUR: Loji jana kuasa elektrik Southern Power Generation (SPG) kini beroperasi pada tahap penuh kapasiti penjanaannya berikutan unit kedua Loji Janakuasa Tarbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD) hari ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti, berkata ia membolehkan SPG menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji CCGT.

Beliau berkata, dengan pencapaian COD unit kedua ini, ia memberi kapasiti tambahan penjanaan sebanyak 720MW sekaligus meningkatkan kapasiti penjanaan di Semenanjung Malaysia kepada 25,962MW.

Unit 1 CCFT mencapai tarikh operasi komersial pada 1 Januari 2021.

"Kejayaan SPG ini hasil kerjasama dan sokongan semua pihak dan menjadikan ia satu pencapaian bermakna buat TNB dalammenjayakan projek utama negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua loji CCGT itu terletak secara strategik di Pasir Gudang, Johor dan berperanan penting dalam mengukuhkan kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Loji itu dikendalikan dan disenggara sepenuhnya oleh REMACO, anak syarikat TNB Power Generation Sdn Bhd.

Nor Azman berkata, SPG membekalkan tenaga kepada TNB menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan kedua lojinya menggunakan gas asli sebagai bahan bakar utama.

"Bekalan elektrik yang dijana menggunakan teknologi tarbin pembakaran 9HA.02 daripada General Electric (GE) yang dijangka mencapai kecekapan loji kitarpadu melebihi 60 peratus.

"SPG adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia yang menggunakan tarbin gas 9HA.02 terbaharu dan paling cekap dihasilkan GE," katanya.

TNB Power Generation adalah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang membangunkan, mengendalikan serta menyelenggara portfolio unit penjanaan tenaga milik TNB.

TNB dan TNB Power Generation adalah pemegang saham utama sebanyak 70 peratus dalam SPG.

Berita Harian X