Isnin, 16 November 2020 | 1:55pm
Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC)
Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC)

SJMC jalin usaha sama perubatan dengan AstraZeneca, Pfizer

KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal global, AstraZeneca dan Pfizer untuk memperkenalkan program akses pesakit bersubsidi yang dinamakan NEXUS 2.0.

Melalui inisiatif ini, pesakit yang menghidapi kanser paru-paru tahap kritikal dapat menjalani ujian profil genetik 'Next Generation Sequencing' (NGS) yang komprehensif dan pantas, dengan kos yang rendah.

Keputusan NGS boleh didapati dengan cepat iaitu dalam tempoh satu hingga tiga hari berbanding dengan prosedur yang terdahulu yang memakan masa dua hingga tiga minggu.

Ia sekali gus membolehkan pesakit untuk memulakan rawatan terapi bersasar dengan lebih cepat, sekali gus mampu mengubah kehidupan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH), Greg Brown, berkata sebagai salah satu penyedia perkhidmatan kesihatan terkemuka, pihaknya kekal komited dalam menambahbaik cara-cara memenuhi keperluan dan mengoptimumkan rawatan pesakit kanser.

"Kecanggihan teknologi ini bersama program akses pesakit bersubsidi di SJMC bakal mengubah landskap rawatan kanser paru-paru tahap kritikal," katanya dalam satu kenyataan.

SJMC turut memperkenalkan rawatan kanser paru-paru tahap kritikal versi ujian NGS yang terbaharu dan canggih iaitu Ion Torrent GenexusTM Intergrated Sequencer.

Presiden Negara, AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal, pula berkata pihaknya kekal komited untuk meringankan beban kanser paru-paru dan salah satu caranya adalah dengan meningkatkan akses pesakit kepada teknologi diagnostik baharu dan inovatif.

"Kesejahteraan pesakit adalah teras kami. Oleh itu, kami ingin membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan mendapatkan akses kepada teknologi canggih yang dapat merawat kanser dengan segera dan teliti.

"Kerjasama strategik antara SJMC dan Pfizer ini sangat bermakna, dan kami yakin ia akan melengkapkan usaha tanggungjawab korporat untuk meningkatkan akses dan kemampuan pesakit terhadap penjagaan kesihatan mampan melalui rawatan serta pencegahan yang mampu mengubah hidup mereka," katanya.

Berita Harian X