Rabu, 4 November 2020 | 2:39pm
Malindo Air meraih pendapatan bulanan RM200 juta sebelum pandemik COVID-19 melanda - Foto hiasan
Malindo Air meraih pendapatan bulanan RM200 juta sebelum pandemik COVID-19 melanda - Foto hiasan

Purata pendapatan Malindo Air jatuh mendadak

KUALA LUMPUJR: Purata pendapatan Malindo Air sejak Mac lalu sehingga kini merekodkan penurunan drastik dengan hanya 7.5 peratus daripada tahap pendapatannya sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, berkata sebelum pandemik itu melanda, purata pendapatan bulanan syarikat penerbangan itu adalah sekitar RM200 juta. 

Beliau berkata, dengan pendapatan sebanyak itu, syarikat penerbangan mampu menggajikan 5,000 kakitangan dengan kos sebanyak RM40 juta sebulan. 

"Namun, pandemik COVID-19 memberi impak buruk yang mengakibatkan penggantungan hampir semua angkatan pesawat sejak Mac.

"Ini telah memberi kesan buruk terhadap kewangan kami dengan purata semasa pendapatan hanya 7.5 peratus dari tahap pra-pandemik.

"Bagaimana kami dapat terus mempertahankan 'status quo' selama lapan bulan dan berterusan ketika hampir tiada pendapatan atau sokongan," katanya dalam satu kenyataan.

Mushafiz berkata, berikutan penurunan aliran tunai yang tinggi, syarikat penerbangan itu harus melaksanakan langkah pengurangan kos secara besar-besaran bagi membolehkannya bertahan.

Beliau berkata, Malindo Air sudah mengecilkan angkatan pesawatnya sebanyak 50 peratus dengan memindahkan 20 buah pesawat yang memberikan penjimatan bulanan sebanyak RM20 juta.

Syarikat penerbangan itu juga, katanya, sudah melaksanakan langkah perbincangan bagi penangguhan dan rundingan semula kontrak dengan penyedia perkhidmatannya termasuk penyewa pesawat dan lapangan terbang.

Katanya, syarikat juga sudah melaksanakan pelbagai langkah seperti Skim Pemisahan Sukarela (VSS) untuk 349 kakitangannya dan Skim Tanpa Gaji Jangka Panjang (LTU) untuk 439 juruterbang dan kru kabinnya.

"Kami tidak mempunyai prospek segera bagi memulakan semula operasi biasa. Kami juga terpaksa memberhentikan 1,861 kakitangan untuk terus beroperasi," katanya.

Baru-baru ini, terdapat aduan daripada kakitangan yang terbabit dalam pembuangan pekerjaan itu mengenai pampasan dan terma pembuangan pekerjaan.

Menjelaskan perkara itu, Mushafiz menegaskan bahawa apa sahaja jumlah yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan disalurkan sepenuhnya kepada pekerja dan syarikat penerbangan itu tidak menyimpan sebahagian daripada jumlah itu seperti yang didakwa beberapa pihak tertentu.

Beliau berkata, di bawah Program Pengekalan Pekerja (ERP), Malindo Air menerima RM1.267 juta pada April 2020 yang dikreditkan pada pertengahan Mei lalu daripada PERKESO serta disalurkan kepada 2,112 kakitangan. 

"Selepas itu, sejumlah RM1.486 juta diterima pada akhir Jun 2020 dan dikreditkan kepada 2,478 kakitangan. Apabila PERKESO menghentikan ERP dan menggantikannya dengan Program Subsidi Upah, hanya 196 kakitangan yang mendapat manfaat yang sama. 

"RM235,200 diterima untuk Jun dan Julai 2020, yang disalurkan PERKESO pada akhir Ogos dan September 2020.

"Meskipun demikian, Malindo Air telah memastikan kakitangan yang mendapat manfaat daripada kedua-dua skim dikekalkan selama lebih tiga bulan seiring dengan peraturan ditetapkan," katanya.

Berita Harian X