Selasa, 3 November 2020 | 6:30pm
Hab Cainiao Aeropolis eWTP Malaysia di Sepang - Foto ihsan MAHB
Hab Cainiao Aeropolis eWTP Malaysia di Sepang - Foto ihsan MAHB

Hab e-penunaian di KLIA Aeropolis mula beroperasi

SEPANG: Hab Cainiao Aeropolis eWTP Malaysia yang memulakan operasi secara rasminya hari ini sebagai hab e-penunaian yang baharu di KLIA Aeropolis berpotensi menyumbang sekurang-kurangnya AS$10.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata hab berkeluasan 24.28 hektar atau 2.6 juta kaki persegi membabitkan 1.1 juta kaki persegi ruang gudang juga dijangka mewujudkan lebih 100,000 pekerjaan menjelang 2029.

Katanya, hab hasil usaha sama (JV) MAHB dan Alibaba Group yang dulunya dikenali KLIA Aeropolis DFTZ Park adalah sebahagian usaha memperkukuhkan pemulihan ekonomi Malaysia dan menyokong peningkatan aliran perdagangan di rantau yang lebih meluas.

"Hab yang dikendalikan oleh unit logistik Alibaba iaitu Cainiao Smart Logistics Network (Cainiao), disasarkan untuk meningkatkan status rangkaian kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai antara gerbang pengedaran terkemuka di rantau ASEAN.

"Hab e-penunaian akan memperkukuhkan ekosistem kargo dan logistik negara merangkumi hubungan udara, laut dan darat. Selain itu, peserta industri dapat meneroka pelaksanaan teknologi rantaian bekalan pintar dan keupayaan pemindahan pengetahuan dalam logistik.

"Ia dapat membantu mempermudahkan pengendali e-dagang menghantar barangan dalam 24 jam di Malaysia, manakala sasaran utama membolehkan penghantaran dilaksanakan dalam 72 jam ke seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Hab Cainiao Aeropolis eWTP adalah projek utama di bawah perkongsian Platform Perdagangan Dunia elektronik (eWTP) yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Alibaba Group pada 2017.

Syarikat e-dagang terbesar Asia, Lazada menjadi entiti pertama memanfaatkan hab itu, sementara syarikat lain dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat bagi menubuhkan pusat pengedaran serantaunya di lokasi terbabit.

Mohd Shukrie berkata, pengendali lapangan terbang sentiasa mencari inisiatif yang dapat memanfaatkan simpanan tanah KLIA yang luas.

Katanya, MAHB menyasarkan kemudahan berkenaan akan menjadi tumpuan bagi pasaran dari sektor automotif, barangan sukan, fesyen dan gaya hidup, peruncitan elektronik dan peralatan perubatan.

"Kami yakin kemudahan baharu ini akan meningkatkan jumlah kargo sebanyak 700,000 tan, atau dua kali ganda jumlah semasa KLIA kepada 1.4 juta setahun menjelang 2029," katanya.

Berita Harian X