Jumaat, 23 Oktober 2020 | 8:57pm
Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd
Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd

UEM Sunrise jual 20 peratus kepentingan AMSB

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd, melalui unit UEM Land Bhd, menjual 20 peratus kepentingan dalam Aura Muhibah Sdn Bhd (AMSB) kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) pada harga RM182.6 juta.

Ia bagi mengurangkan pelaburan dan pembabitannya di Johor sebagai sebahagian strategi pengimbangan semula portfolio tanahnya.

Susulan daripada pelupusan saham dan saham keutamaan boleh tebus (RPS) itu, AMSB tidak lagi menjadi anak syarikat UEM Land manakala kepentingan UEM Land akan turun kepada 40 peratus manakala kepentingan KLK yang dimiliki sepenuhnya melalui anak syarikat milik penuh KLK Land Sdn Bhd (KLK Land), ia akan meningkat kepada 60 peratus.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UEM Sunrise berkata selain perjanjian penjualan saham itu, UEM Land hari ini juga menandatangani perjanjian pemegang saham baharu dengan KLK Land dan AMSB berkaitan dengan cadangan pembangunan bersama seluas 2,500 ekar (1.011.7 hektar) di Senai, Johor.

Ia berikutan AMSB tidak lagi menjadi anak syarikat UEM Land.

Pemaju utama Iskandar Puteri di Johor itu berkata, bermula daripada pelupusan sebahagian tanah Desaru pada Ogos 2019, kumpulan berkenaan kini mempertimbangkan untuk mengurangkan pelaburannya di Kulai.

"Disebabkan AMSB tidak lagi menjadi anak syarikat, ia akan membolehkan kumpulan itu menumpukan perhatiannya terhadap sumber daya Iskandar Puteri di Johor, ketika ini ia masih mempunyai baki simpanan tanah seluas lebih daripada 5,000 ekar (2.023.4 hektar)," kata UEM Sunrise.

-BERNAMA

Berita Harian X