Khamis, 22 Oktober 2020 | 1:09pm
Affin Bank Bhd (AFFINBANK)
Affin Bank Bhd (AFFINBANK)

AFFINBANK sedia pembiayaan syarikat pemula niaga

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd (AFFINBANK) melancarkan Skim Pembiayaan BizDana-i yang dijamin oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) bernilai RM15 juta, khas untuk syarikat pemula niaga.

Permohonan yang dibuka sejak 15 Oktober lalu menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000 dengan tempoh pembayaran balik sehingga 84 bulan.

Skim pembiayaan AFFINBANK BizDana-i bertujuan khusus untuk membantu usahawan baharu yang berpotensi, dengan pembiayaan seawal enam bulan beroperasi, tanpa cagaran.

Inisiatif ini akan membantu meningkatkan modal kerja, mengembangkan operasi dan menyokong pertumbuhan perniagaan syarikat terbabit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFINBANK, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali, berkata setiap perniagaan yang layak harus diberi peluang untuk berkembang maju, terutama syarikat pemula niaga.

"Walaupun terdapat banyak pembiayaan sedia ada, kumpulan syarikat pemula niaga kurang mendapat perhatian kerana dianggap sebagai segmen yang berisiko.

"Dengan proses pelegaan risiko yang bersesuaian, AFFINBANK akan terus berusaha untuk menjadi bank pilihan yang menawarkan sumber yang diperlukan untuk mengasuh, membangun dan berkembang secara inklusif untuk segmen ini," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Razly berkata, skim pembiayaan BizDana-i akan terus memperkukuhkan lagi inisiatif sedia ada Perbankan Start-up oleh AFFINBANK.

"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan yang penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi negara.

"Selain berperanan meningkatkan pertumbuhan PKS dan segmen pemula niaga, Skim Pembiayaan Jaminan Portfolio AFFINBANK akan dapat membantu golongan yang agak terjejas akibat kesan pandemik COVID-19.

"Ini adalah satu pakej rangsangan bagi yang ingin memulakan dan menghidupkan semula perniagaan kecil mereka," katanya.

Berita Harian X