Rabu, 21 Oktober 2020 | 9:01pm
Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (PLNG2)
Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (PLNG2)

PLNG2 terbit Sukuk Murabahah RM1.7 bilion

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik 65 peratus milik Petronas Gas Bhd (Petronas Gas), Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (PLNG2) menerbitkan Sukuk Murabahah bernilai RM1.7 bilion.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Petronas Gas berkata PLNG2 akan menggunakan Sukuk Murabahah bernilai RM1.7 bilion itu berdasarkan kepada program Nota Jangka Sederhana Islam bernilai RM3 bilion, untuk membayar balik pinjaman pemegang saham dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang tertunggak sepenuhnya.

"Berdasarkan kedudukan kewangan kumpulan itu pada 30 Jun 2020, tidak akan berlaku sebarang perubahan material terhadap kadar tahap hutang Petronas Gas.

"Penerbitan itu tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan itu untuk tahun kewangan semasa," katanya.

Sukuk Murabahah bernilai RM1.7 bilion akan diterbitkan dalam 20 peringkat dengan jangka masa antara satu hingga 20 tahun.

"CIMB Investment Bank Bhd adalah penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal dan pengurus utama bagi Sukuk, manakala CIMB, AmInvestment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd adalah pengurus utama bersama bagi Sukuk Murabahah bernilai RM1.7 bilion," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X