Selasa, 20 Oktober 2020 | 1:00pm
Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd
Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd

Sime Darby rancang penyenaraian unit penjagaan kesihatan

H: Sime Darby rancang penyenaraian unit penjagaan kesihatan

Sime Darby Bhd mempertimbangkan penyenaraian berasingan unit perniagaan penjagaan kesihatan yang boleh menjana sekurang-kurangnya RM500 juta, demikian menurut individu yang rapat dengan perkara itu.

Antara konglomerat tertua di Malaysia itu sedang berbincang dengan penasihat berpotensi bagi tawaran awam permulaan (IPO) Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd, kata individu itu.

Penyenaraian di pasaran saham Malaysia boleh berlaku seawal 2021, kata individu itu, yang enggan dikenali kerana maklumat berkenaan adalah sulit.

Sime Darby memiliki bersama unit penjagaan kesihatannya bersama pengendali hospital terbesar Australia, Ramsay Health Care Ltd.

Pertimbangan masih lagi di peringkat awal dan butiran tawaran, termasuk saiz dan tempoh masa masih boleh berubah, kata individu itu.

Seorang wakil Sime Darby enggan mengulas, sambil menambah syarikat akan membuat pengumuman apabila perlu.

Seorang wakil Ramsay Health Care berkata, syarikat tidak mempunyai sebarang kenyataan.

Pengasingan perniagaan bukan sesuatu yang baharu bagi Sime Darby.

Konglomerat itu menyenaraikan unit perladangan dan hartanahnya pada 2017.

Harga saham Sime Darby meningkat kira-kira 8.7 peratus tahun ini, menjadikan nilai pasarannya kira-kira AS$4 bilion.

Sime Darby bercadang membelanjakan RM1 bilion setiap tahun untuk pengambilalihan dan pertumbuhan organik, dengan tumpuan mengembangkan perniagaan kereta mewah selain perkhidmatan penjagaan kesihatan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffri Salim Davidson, November tahun lalu.

Ramsay Sime Darby Health Care ditubuhkan pada 2013 apabila Sime Darby dan Ramsay Health Care menggabungkan beberapa hospital di Asia Tenggara.

Ia mengendalikan enam hospital premium di Malaysia dan Indonesia, selain sebuah kemudahan pembedahan di Hong Kong, menurut laporan tahunan Sime Darby.

Pendapatan bersih perniagaan penjagaan kesihatan Sime Darby susut kira-kira 20 peratus kepada RM39 juta bagi tahun kewangan fiskal berakhir 30 Jun 2020, berbanding RM49 juta setahun lalu.

Ia berikutan penurunan jumlah pesakit disebabkan pandemik, selain susut nilai sekali saja.

-Bloomberg

Berita Harian X